Harimau belang muncul di Jeli

Harimau Belang. Gambar hiasan. Seekor kambing milik penduduk telah menjadi mangsa harimau belang yang telah muncul sejak Rabu lalu di Kampung Baru Malaysia, Jeli sekali gus mengundang keresahan dalam kalangan mereka.
Harimau Belang. Gambar hiasan. Seekor kambing milik penduduk telah menjadi mangsa harimau belang yang telah muncul sejak Rabu lalu di Kampung Baru Malaysia, Jeli sekali gus mengundang keresahan dalam kalangan mereka.
A
A
A

JELI - Penduduk di Kampung Baru Malaysia, di sini digemparkan dengan kemunculan seekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan sejak Rabu lalu.

Bagaimanapun, harimau itu telah membaham seekor kambing milik penduduk pada Isnin sekali gus mengundang keresahan dalam kalangan mereka.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, setakat ini sebanyak tiga aduan telah diterima berkaitan dengan kemunculan pak belang tersebut.

"Aduan pertama diterima pada Rabu lalu daripada penduduk Kampung Baru Malaysia dan pihak kami telah memasang satu unit perangkap harimau belang di lokasi tersebut.

"Aduan kedua pada Khamis di mana lokasinya lebih kurang 2 kilometer (km) daripada aduan pertama," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, manakala aduan ketiga pada Selasa iaitu 5km daripada jarak perangkap yang dipasang.

Beliau berkata, harimau belang tersebut dipercayai daripada hutan simpan berhampiran iaitu Sungai Sator dan Jedok.

Katanya, seekor kambing sumbangan penduduk juga digunakan sebagai umpan untuk menangkap harimau belang tersebut.

Mohamad Hafid berkata, pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan perangkap juga turut dilakukan.

"Kami menasihatkan penduduk kampung supaya mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian dan segera menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak kelibat atau kesan harimau berkenaan," katanya.