Pegawai awam ditegur tidak sepatutnya buat provokasi: KPPA

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pegawai awam yang ditegur disebabkan penyampaian perkhidmatan kurang memuaskan tidak sepatutnya bertindak balas dengan melakukan provokasi kepada pihak yang membuat teguran, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Tegasnya, provokasi melampau bagi meraih perhatian umum atau dijadikan bahan viral boleh disifatkan sebagai suatu tindakan tidak bertanggungjawab.

"Ia juga bertentangan dengan budaya kerja pegawai awam serta bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya menerusi surat edaran yang ditandatanganinya pada tarikh 8 Ogos.

Menurutnya, setiap pegawai awam sepatutnya sentiasa bersikap positif apabila menerima pandangan, cadangan atau teguran daripada mana-mana pihak berkepentingan, termasuklah pegawai atasan dalam usaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

"Seorang pegawai awam juga hendaklah menunjukkan sikap yang responsif terhadap maklum balas dan aduan daripada pelanggan perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata, semua pegawai awam diingatkan bahawa jawatan dan kedudukan disandang merupakan amanah yang perlu dilaksanakan untuk kepentingan negara.

"Maka, seorang pegawai awam hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh jujur, cekap dan amanah sebagai satu usaha berterusan untuk memartabatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

Ujar Mohd Shafiq, sebagai pegawai tertinggi di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), beliau bukan sahaja bertanggungjawab ke atas jabatan itu, sebaliknya termasuk kesemua perkhidmatan awam sebagaimana yang termaktub di bawah Fasal 3, Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.

"KPPA sudah semestinya bertanggungjawab untuk memberikan pandangan atau teguran bagi meningkatkan kualiti dan pematuhan peraturan dalam sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam di negara ini," katanya.

Surat tersebut turut menegur penjawat awam agar tidak menyebarkan berita palsu, membuat tohmahan atau fitnah terhadap pegawai awam lain demi mencapai kepentingan atau agenda peribadi.

"Perkara perkara ini jelas diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993]," katanya.

Menurutnya, pegawai awam juga dilarang daripada menyalah guna teknologi dan hak kebebasan untuk bersuara.

"JPA tidak boleh dan tidak akan berdiam diri dengan membenarkan mana-mana pegawai awam difitnah dan diperlakukan secara tidak adil oleh pihak lain untuk mencapai agenda peribadi yang tidak baik," katanya.

Minggu lalu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut KPPA memohon maaf secara terbuka susulan dakwaan beliau menengking seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kata-kata kesat.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut dinafikan Mohd Shafiq dengan memaklumkan bahawa teguran dibuatnya secara berhemah.