Diplomat Senegal ditangkap, berhutang kepada tuan rumah

Seorang diplomat Senegal ditangkap kerana berhutang kepada tuan rumah di Kanada. - Foto City Clock Magazine
Seorang diplomat Senegal ditangkap kerana berhutang kepada tuan rumah di Kanada. - Foto City Clock Magazine
A
A
A

MONTREAL - Seorang diplomat Senegal yang ditahan di Ottawa pada minggu lalu berhutang kepada tuan rumahnya lebih daripada K$45,000 (RM34,924) atas kerosakan harta yang disewa, menurut dokumen mahkamah dilihat oleh AFP pada Selasa.

Rumah didudukinya itu juga dipenuhi lipas.

"Rumah itu dipenuhi lipas," menurut perintah Tribunal Perumahan Pentadbiran yang menuntut diplomat itu membayar sewa tertunggak dan ganti rugi untuk kerosakan pada kediaman.

"Perabotnya penuh dengan lipas. Perabotnya calar. Ada yang hilang. Semuanya kotor," menurut dokumen itu.

Skandal itu meletus pada minggu lalu apabila Kementerian Luar Senegal mengecam cara pegawainya itu ditangkap.

Ia menganggapnya sebagai perbuatan perkauman dan biadab serta melanggar statusnya sebagai diplomat.

Timbalan Perdana Menteri, Chrystia Freeland berkata pada Selasa bahawa pihaknya tidak menerima kekejaman yang dilakukan oleh polis.

"Sebarang contoh kekejaman, kekejaman polis terhadap sesiapa sahaja di negara kita, sama ada mereka warga Kanada atau pelawat atau diplomat sudah tentu tidak boleh diterima sepenuhnya," katanya dalam sidang media.

Menteri Luar, Melanie Joly berkata beliau telah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Senegal dan memberi jaminan bahawa kerajaan Kanada tidak sabar menunggu siasatan penuh mengenai insiden itu.

Perintah mahkamah perumahan itu dikeluarkan pada 2 Jun lalu. - Agensi