Masa depan LCS sama penting dengan sejarahnya

Gambar kecil: Nik Nazmi Nik Ahmad
Gambar kecil: Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

Kita harus melihat kesilapan dan masa hadapan pembinaan kapal tempur pesisir Malaysia (LCS) kerana ia isu yang penting.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Dewan Rakyat mengenai skandal RM9 bilion yang menyaksikan tidak satu pun kapal yang diperlukan untuk pertahanan Malaysia ini disiapkan walaupun RM6.083 bilion telah dibelanjakan telah menyebabkan persoalan dalam wacana awam tentang siapa yang bertanggungjawab dan apa yang salah.

Andainya lima LCS yang dipesan tiba-tiba dihantar secara ajaib pada esok hari; atau negara dapat mendapatkan semula wang yang dibazirkan atau dibelanjakan secara tidak wajar mereka yang bersalah tetap wajib dibawa ke muka pengadilan.

Rakyat Malaysia tidak sepatutnya dibebani kesan kesalahan yang dilakukan bertahun-tahun lalu. Cuma, pemikiran dan perancangan ke hadapan diperlukan.

Yang bersalah mesti dihukum. Kita mesti mempelajari pengajaran yang ditawarkan dalam masalah ini: Iaitu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan mesti digunakan untuk semua perolehan kerajaan termasuklah perkakasan ketenteraan.

Keupayaan Malaysia untuk mempertahankan dirinya boleh dikatakan telah terjejas oleh kelewatan dalam membina LCS. Kelewatan ini boleh dikatakan diburukkan lagi oleh fakta kerajaan pada masa itu tidak bertindak secara telus atau berunding.

Kerajaan Persekutuan semasa telah memutuskan untuk meneruskan projek membina lima LCS, dengan mengekalkan kontraktor yang sama, iaitu BNS.

Mereka masih belum mendedahkan bagaimana hasrat untuk memastikan kegagalan dan kelewatan yang melanda projek itu tidak akan berulang.

Menteri Pertahanan semasa (Datuk Seri) Hishamuddin Hussein telah berkata bahawa beliau berharap LCS pertama akan siap “...Dalam masa satu atau dua tahun”.

Beliau sepatutnya menggariskan bagaimana kerajaan akan memastikan perkara ini benar-benar berlaku dan apa yang akan dilakukan jika ia tidak berlaku. Beliau telah mengawasi projek ini semasa beliau berkhidmat selama empat tahun sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini.

Apa yang kita ada, daripada beliau dan rakan-rakannya dalam kerajaan adalah janji. Cuma itu yang mereka boleh katakan kepada rakyat.

Walaupun terdapat beberapa tangkapan, setakat yang diketahui, belum ada sesiapa pun yang didakwa di atas skandal itu, walaupun SPRM baru-baru ini berkata mereka merancang untuk berbuat demikian tidak lama lagi.

Laporan PAC mendapati bahawa "reka bentuk terperinci" untuk projek itu masih belum dimuktamadkan di antara kerajaan dan BNS.

Seperti yang dihujahkan PAC, ia menyebabkan projek itu terdedah kepada manipulasi berterusan.

PAC juga mendapati bahawa 15 peratus daripada kira-kira RM1.7 bilion peralatan yang disimpan untuk LCS Malaysia kini sudah usang.

Adakah LCS dapat menunjukkan prestasi baik semasa ujian penerimaannya?

Ini bermakna terdapat risiko kapal-kapal ini mungkin tidak dapat mempertahankan negara kita dengan baik walaupun sudah siap.

Kita tidak nafikan, kemungkinan kontraktor akan dapat mengatasi masalah ini. Cuma, rekod setakat ini tidak memberangsangkan.

Kerajaan nampaknya membuat andaian bahawa dua LCS pertama boleh disiapkan menjelang 2024 atau lebih awal dan ia akan diterima tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kedua-dua kapal itu boleh disiapkan menjelang 2024 dengan baki RM3 bilion atau lebih bajet, memandangkan terdapat RM800 juta dalam liabiliti.

Laporan PAC telah mengesahkan bahawa kebimbangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tentang pelbagai isu yang menyelubungi reka bentuk LCS tidak diendahkan oleh kontraktor dan kerajaan ketika itu.

Andainya LCS didapati tidak sesuai untuk peranannya jika dan apabila kita mendapatkan kapal tersebut, bagaimanakah ia akan diperbetulkan tanpa suntikan tunai pada masa hadapan?

Keraguan dan kebimbangan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Kerajaan harus menggariskan secara komprehensif merancang untuk menangani cabaran yang hampir pasti akan terjadi, serta bertindak mengikut cadangan laporan PAC dengan segera.

Kerajaan harus membuka dan memberi akses kepada laporan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) mengenai LCS, serta melaksanakan syor kedua-dua laporan ini.

Masa depan isu LCS ini sama penting dengan sejarahnya.

* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Setiawangsa