Sindiket seleweng diesel bersubsidi tumpas

KPDNHEP Kedah menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah gudang di Gurun, di sini, pada Isnin. - Foto ihsan KDPNHEP Kedah
KPDNHEP Kedah menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah gudang di Gurun, di sini, pada Isnin. - Foto ihsan KDPNHEP Kedah
A
A
A

GURUN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dengan merampas 10,859 liter bahan bakar itu dalam serbuan di sebuah gudang di Gurun di sini, pada Isnin.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan kira-kira jam 10 pagi di premis yang dijadikan tempat pengumpulan minyak diesel itu dilakukan sepasukan lapan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP Alor Setar.

“Semasa serbuan dijalankan, gudang tersebut sedang beroperasi dan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an berada di dalam gudang tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, 10,859 liter minyak diesel berada di dalam 'skid tank' dan tangki besi di gudang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

KPDNHEP Kedah merampas 10,859 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah gudang di Gurun, di sini, pada Isnin. - Foto ihsan KPDNHEP Kedah
KPDNHEP Kedah merampas 10,859 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah gudang di Gurun, di sini, pada Isnin. - Foto ihsan KPDNHEP Kedah

Tambah beliau, turut ditemui dalam gudang tersebut sebuah lori yang dilengkapi dengan tangki tambahan.

“Berdasarkan keterangan awal diperolehi, premis tersebut tidak mempunyai apa-apa lesen atau permit yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

"Minyak yang ditemui di premis itu dipercayai dibeli daripada beberapa buah stesen minyak di sekitar kawasan Gurun sebelum ia dijual semula kepada pihak industri," katanya.

Susulan itu, menurut beliau, anggota penguat kuasa KPDNHEP Alor Setar bertindak menyita minyak diesel, lori, hos, pam dengan nilai lebih kurang RM68,846.85.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana beroperasi atau menjalankan urusniaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.