LCS: Pemuda UMNO desak kerajaan segera tubuh RCI

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) secara komprehensif dan bebas.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pimpinan UMNO yang berada dalam kerajaan sebelum dan ketika ini juga mahukan siasatan dan tindakan menyeluruh terhadap laporan audit yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Pemuda UMNO memperhalusi polemik mengenai isu perolehan enam kapal tempur bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti yang dilaporkan PAC baru-baru ini.

“Tuduh-menuduh, andaian demi andaian serta provokasi oleh pelbagai pihak mengenai perkara ini amat tidak sihat dalam kalangan rakyat dan memberikan persepsi tidak baik mengenai aset-aset sensitif ketenteraan, kesiapsiagaan pertahanan, keselamatan serta kedaulatan negara.

“Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar pihak kerajaan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat isu ini secara komprehensif dan bebas demi kepentingan rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Dalam hantaran sama, beliau turut berpendapat bahawa perlunya satu titik noktah yang berautoriti agar semua pihak terutama TLDM dapat mencapai objektif asal kepada perolehan tersebut.

“Ia seterusnya menjamin keupayaan pertahanan TLDM untuk menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar sekitar RM6 bilion untuk projek kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.