Ketamin 338kg bernilai RM20j dirampas

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Azimah Abdul Hamid (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat (dua, kanan) menunjukkan dadah jenis Ketamin seberat 338kg dengan anggaran bernilai RM20 juta yang dirampas dalam serbuan di pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang 25 Mac lalu ketika sidang media hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Azimah Abdul Hamid (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat (dua, kanan) menunjukkan dadah jenis Ketamin seberat 338kg dengan anggaran bernilai RM20 juta yang dirampas dalam serbuan di pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang 25 Mac lalu ketika sidang media hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Sindiket penyeludupan dadah yang disyaki berselindung di sebalik perniagaan tekstil berjaya ditumpaskan susulan penahanan tujuh suspek termasuk warga Pakistan dan India.

Dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang pada 25 Mac lalu, dadah jenis ketamin seberat 338kg bernilai RM20 juta turut dirampas.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Azimah Abdul Hamid berkata, serbuan dibuat anggota Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat dan Customs Operational Battle Force Response Assault JDKM bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kompleks membeli-belah, pemeriksaan ke atas 70 kotak gulungan kain menemukan 304 bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah yang disorokkan dalam gulungan kain itu.

“Turut dijumpai dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah dalam beg milik suspek utama dengan berat kasar keseluruhan dadah ini seberat 229kg. Dua warga Pakistan ditahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya susulan penemuan itu, JKDM dan JSJN kemudiannya telah menyerbu sebuah gudang penyimpanan di Pelabuhan Klang.

“Sebanyak 27 kotak kain ditemui, dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan 146 bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah yang disorokkan dalam gulungan kain dengan berat 109kg.

“Hasil risikan dan maklumat, pasukan dari JSJN Bukit Aman menahan lima lelaki masing-masing dua warga tempatan, dua warga India dan seorang warga Pakistan yang disyaki anggota rangkaian sindiket bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Azimah berkata dadah itu telah diisytiharkan sebagai tekstil dan dipercayai tiba dari Karachi, Pakistan.

“Dadah yang dirampas itu disyaki untuk kegunaan pasaran tempatan dan jika terlepas kepada sindiket pengedaran dadah itu boleh digunakan oleh hampir 1.7 juta penagih dadah.

Katanya kesemua suspek yang dalam lingkungan umur 35 hingga 54 tahun ditahan reman bermula dari tarikh tangkapan selama 14 hari dan akan dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama