Silika: Ahmad Said beri peringatan kepada kerajaan negeri

DATUK SERI AHMAD SAID
DATUK SERI AHMAD SAID
A
A
A

KUALA TERENGGANU - ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said memberikan peringatan kepada kerajaan negeri Terengganu agar berhati-hati dalam memilih pelabur di Lembah Silika Terengganu di Marang, agar ia tidak merugikan negeri.

Menurutnya, selain hasil minyak dan petroleum, silika akan menjadi aset utama Terengganu kerana mengikut kajian yang dibuat, ia mampu bertahan sehingga 75 tahun.

“Selain silika, bauksit juga menjadi aset Terengganu untuk masa depan, saya nasihatkan agar kita boleh mencari pelabur-pelabur yang boleh membuka kilang di sini (Terengganu).

“Namun, apa yang berlaku hari ini, kebanyakan pelabur ‘kong kali kong’.

"Ikut syarat kita, pelabur mesti membuat produk sekurang-kurangnya separuh siap, tapi kita tidak mahu apabila mereka diberikan kelulusan, mereka mengeksport silika ini secara bahan mentah sahaja ke luar negara. Ia sudah tentu merugikan kita," katanya sewaktu perbahasan Sidang DUN Ke-14, di sini hari ini.

Beliau berkata, kelulusan telah diberikan dan kerajaan negeri perlu berhati-hati dan membuat pemantauan apa yang berlaku.

"Saya dimaklumkan, silika kita telah mula dieksport ke luar negara secara bahan mentah, bukan sekurang-kurangnya separuh siap," katanya.

Projek pembangunan Lembah Silika Terengganu (TSV) di atas tapak seluas 4,000 hektar di Jambu Bongkok, Marang dilihat mampu menarik pelaburan mencecah RM13 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2020.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ahmad, beliau mengharapkan jawatankuasa pelaburan negeri dapat menarik pelabur-pelabur berpotensi untuk datang dan memastikan mereka boleh membuka kilang di Terengganu.

“Kita berikan keutamaan kepada pelabur yang buka kilang.

"Kalau beri kepada mereka yang hanya nak ambil dan punggah, ia merugikan kita, saya beri peringatan kepada kerajaan negeri supaya berhati-hati,” katanya.