NS catat lebih RM200 juta kerugian akibat jenayah komersial

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 8,921 kes penipuan membabitkan jenayah komersial dengan pelbagai modus operandi direkodkan di Negeri Sembilan dalam tempoh 2018 hingga Jun 2022 dengan jumlah kerugian melebihi RM200 juta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Seremban merupakan daerah terbanyak menerima laporan polis berkaitan kes penipuan dengan kerugian kira-kira RM144.5 juta.

"Ini diikuti Nilai (RM30.1 juta); Port Dickson (RM21.7); Kuala Pilah (RM10.9 juta); Tampin (RM9.2 juta); Jempol (RM7.2 juta); Rembau (RM2.7 juta) dan Jelebu (RM2.4 juta).

"Bagi tempoh kajian ini, kita dapati kebanyakan mangsa kes penipuan melibatkan bangsa Melayu dalam lingkungan umur 15 tahun ke 40 tahun dikuti bangsa Cina, India dan selebihnya di bawah lain-lain bangsa dalam kategori umur sama," katanya pada Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan yang ke-14 di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chew Seh Yong ( PH-Lobak) berhubung kes penipuan jenayah komersial dan kerugian sejak tahun 2018 hingga 2022.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan dalam usaha menyebar luas ilmu pengetahuan kepada masyarakat bagi mengelakkan dari menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik mangsa penipuan termasuk pelbagai kempen.

Beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak tertipu dengan panggilan scam yang kononnya daripada agensi kerajaan, mahupun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya.

"Sentiasa semak dengan badan berkenaan, pergi ke kaunter jika perlu. Telefon nombor di laman web rasmi agensi berkenaan dan sentiasa dapatkan maklumat yang benar.

"Terkini adalah penipuan melalui laman interaksi Telegram, oleh itu sentiasa semak dengan tuan punya badan untuk memastikan kesahihannya. Jangan kita tertipu dengan tipu muslihat kononnya ingin meminjam duit tapi menggunakan akaun lain," katanya.