LSF Kontinjen Kelantan siap siaga hadapi PRU

Terdiri 210 anggota siri pertama daripada 10 IPD

Pasukan LSF melakukan pertunjukan pada Majlis Penutup Kursus LSF Wanita peringkat Kontinjen Kelantan di pekarangan Padang Kawad Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Selasa.
Pasukan LSF melakukan pertunjukan pada Majlis Penutup Kursus LSF Wanita peringkat Kontinjen Kelantan di pekarangan Padang Kawad Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Penubuhan Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) dengan 210 keanggotaan antara persediaan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan bagi menjaga keamanan awam termasuk pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, LSF siri pertama tersebut melibatkan 95 anggota dan 10 pegawai lelaki yang berjaya menamatkan kursus asas bermula 15 Mei sehingga 25 Mei lalu manakala 95 lagi anggota dan 10 pegawai wanita yang menamatkan siri latihan mereka antara 31 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Katanya, LSF akan bertindak sebagai unit pertama yang dipanggil turun ke lapangan bagi mengawal situasi sekiranya berlaku kekacauan semasa demonstrasi, piket atau pun rusuhan.

“Kepentingan LSF sama dengan tugas FRU di seluruh negara atau Unit Tindakan Rusuhan Awam (Poru) jika berlaku sesuatu situasi yang lebih serius termasuk gangguan ketenteraman dan keamanan pada PRU.

“Apabila berlaku sesuatu demonstrasi atau rusuhan, Ketua Polis Daerah boleh arahkan LSF ke tempat kejadian lebih awal bagi menilai dan menangani situasi sebelum FRU atau Poru dipanggil ke lokasi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kursus Light Strike Force (LSF) Wanita peringkat Kontinjen Kelantan di pekarangan Padang Kawad Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, turut menyasarkan penambahan keanggotaan pasukan LSF bagi siri kedua pada tahun ini bagi menambah kesiapsiagaan menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

“LSF pertama ini membabitkan 12 seksyen, setiapnya lapan keanggotaan daripada 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri ini. Mereka juga menjalankan penugasan lain seperti biasa dan pada masa sama menganggotai LSF.

“Pasukan LSF turut dilengkapkan dengan alatan seperti perisai, bom asap, gas pemedih mata dan cota ketika menjalankan penugasan di lapangan,” katanya.