Lelaki ditahan terlibat tiga kes pecah kedai

Agus Salim (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan barang kes pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam, pada Selasa.
Agus Salim (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan barang kes pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam, pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang lelaki dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kedai sekitar daerah ini sejak Julai lalu ditahan di pekarangan rumahnya di Hutan Melintang, Perak, kira-kira jam 5 petang, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 30-an itu, polis berjaya menemui hasil rampasan barang curi dianggarkan bernilai RM20,000 di rumah berkenaan.

"Antara barang yang dirampas dalam serbuan itu ialah tiga komputer riba, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, kad tambah nilai, kad kupon insurans telefon bimbit, set pengecaj komputer riba, beg, pembesar suara dan set mikrofon," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Sabak Bernam, pada Selasa.

Agus Salim berkata, hasil siasatan suspek mengaku melakukan tiga kes pecah kedai di daerah ini.

"Suspek disyaki menjalakan kegiatan itu membabitkan satu kes di kedai alat telekomunikasi di Sungai Besar dan dua premis di Sabak Bernam membabitkan kedai telekomunikasi dan kedai cermin mata," kata beliau.

Jelas beliau, hasil semakan turut mendapati suspek sebelum ini mempunyai 11 rekod jenayah dan narkotik.

"Suspek sebelum ini direman selama empat hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," ujar beliau.