Sebar ajaran gaya ‘influencer’

Tangkap layar video majlis perhimpunan yang dianjurkan kumpulan ajaran Hadi Minallah di Langkawi pada Jun lalu.
Tangkap layar video majlis perhimpunan yang dianjurkan kumpulan ajaran Hadi Minallah di Langkawi pada Jun lalu.
A
A
A

MINGGU lalu akhbar ini melaporkan wujud satu ajaran yang dikenali dengan nama ‘Hadi Minallah’ susulan tularnya video perhimpunan pertubuhan itu di Pulau Langkawi, Jun lalu.

Video yang tular di media sosial itu memaparkan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran tersebut dalam satu majlis.

Dilaporkan juga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memantau aktiviti kumpulan tersebut yang dikatakan berasal dari Indonesia dan berpusat di Singapura.

Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd Yusri Md Daud menasihatkan orang ramai agar menjauhi kumpulan itu kerana dikhuatiri terpesong daripada ajaran Islam.

Kita bagaimanapun tidak mahu meletakkan hukuman kepada pertubuhan tersebut kerana sehingga hari ini, JHEAIK pun belum berbuat demikian melainkan melahirkan rasa ‘khuatir’ ia terpesong daripada ajaran Islam.

Namun, apa yang menarik perhatian ialah bagaimana laman ajaran tersebut berhasil menarik sejumlah pelanggan (subscriber) yang ramai, iaitu kira-kira 89,600 subscriber walaupun ia baru dibina kira-kira empat tahun yang lalu.

Video-video yang dimuat naik juga mendapat tontonan yang tinggi, dari 1,000 tontonan (view) sehinggalah 134,000 tontonan.

Melihat cara laman ini beroperasi, barangkali ia tidak banyak bezanya dengan cara para pempengaruh media sosial (influencer) yang menggunakan platform digital menerusi video yang distrimkan secara langsung (live streaming) selama berjam-jam.

Kepetahan berbicara, memanipulasi isu, selain sedikit karisma yang ada digunakan untuk ‘menjual’ hujah sehingga dipercayai dan terjual dengan cukup laris dalam kalangan orang awam.

Selainnya, lelaki ini juga cukup ‘rajin’ dan konsisten memuat naik kandungan videonya saban waktu; tindakan yang boleh mengekalkan pengikutnya di laman tersebut dalam tempoh yang lama dan membina kepercayaan seterusnya.

Kebebasan dalam platform digital digunakan sepenuhnya lelaki ini dan pertubuhannya mengembangkan pengaruh malah mungkin mampu menjana keuntungan kewangan.

Memetik maksud kata-kata popular yang diungkapkan Saidina Ali, kebatilan yang berencana akan mengalahkan kebenaran yang tidak berencana.

Maka untuk mengatasi lelaki ini dan pertubuhannya, perlu kepada rencana dan perancangan yang lebih baik daripada mereka.