Junta belum beri kerjasama bantuan kemanusiaan di Myanmar

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika sidang media selepas Majlis sambutan Hari ASEAN Ke-55 di Markas SMART, NADMA. - Foto Bernama
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika sidang media selepas Majlis sambutan Hari ASEAN Ke-55 di Markas SMART, NADMA. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Junta tentera Myanmar setakat ini belum memberi kerjasama yang diperlukan bagi menyelaras dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke negara itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, ini termasuk cadangan penglibatan organisasi antarabangsa seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dari negara-negara ASEAN yang lain dalam Pasukan Petugas Myanmar bagi misi bantuan kemanusiaan.

Malaysia juga mencadangkan Mercy Malaysia untuk terlibat dalam pasukan berkenaan memandangkan badan itu pernah melaksanakan misi bantuan di wilayah Rakhine di negara itu, selain mempunyai sukarelawan di Myanmar yang bersedia untuk membantu.

"Kita melihat pihak Junta tidak memberi kerjasama. Kita mahu pasukan petugas itu melibatkan pihak antarabangsa dengan lebih bermakna supaya ada ketelusan kerana kebimbangannya ialah, kita faham isu di Myanmar itu kompleks, ada Junta dan ada pihak lain. Jadi apakah jaminan bahawa bantuan itu akan disampaikan kepada semua pihak?

"Yang dirisaukan ialah berlaku diskriminasi, pilih kasih dalam pemberian bantuan dan satu kaedah untuk mengelakkan itu berlaku dan untuk memantau adalah dengan penglibatan badan-badan antarabangsa,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas sambutan Hari ASEAN ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong pada Isnin, yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata, walaupun Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) turut terlibat dalam pasukan berkenaan, namun organisasi itu sendiri mengakui bahawa mereka kurang pengalaman menghantar bantuan ke tempat-tempat konflik seperti Myanmar.

Pasukan Petugas Myanmar itu ditubuhkan susulan Mesyuarat Perundingan mengenai Bantuan Kemanusiaan ASEAN kepada Myanmar yang dipengerusikan Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar Prak Sokhonn pada 6 Mei lepas.

Sejak rampasan kuasa oleh Junta pada 1 Februari 2021, sekurang-kurangnya 2,114 orang telah terbunuh di Myanmar dalam kempen untuk menghentikan penentangan yang meluas terhadap pemerintahan tentera.
Artikel Berkaitan:


Mengenai Hari ASEAN, Saifuddin berkata, sambutan tahun ini diadakan di Markas SMART, bersesuaian dengan temanya "Bantuan Kemanusiaan Serantau.”

Menurut beliau, misi bantuan kemanusiaan berhadapan pelbagai cabaran antaranya sistem yang tidak mampu memenuhi permintaan, kekurangan dana serta bantuan tidak menepati keperluan sebenar mangsa.

"Maka berlakulah pembaziran. Malahan ada yang dijual. Ada bantuan yang menimbulkan kesan yang tidak dijangkakan. Ada yang tambah membebankan. Adakalanya pihak pemberi bantuan (CSO, penaja dan kerajaan) mempunyai agenda tersendiri,” katanya.

Susulan itu, beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk mendapatkan maklumat tepat daripada sumber tempatan, mendengar suara mangsa dan mewujudkan kerangka kebertanggungjawaban (accountability), ketelusan dan penilaian.

"Saya fikir kalau kita boleh ada kerangka itu, ia akan memudahkan lagi kita mendapat dana sama ada daripada syarikat swasta dalam negara atau di peringkat antarabangsa. Bukan tujuan untuk kawal, tetapi lebih selesa bagi orang untuk bekerja bersama-sama,” kata Saifuddin. - Bernama.