Kes tetak tidak libatkan kumpulan kongsi gelap: Polis

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kejadian seorang pengawal keselamatan yang dipukul dan ditetak tiga individu bersenjatakan parang di Sungai Petani pada Khamis lepas tidak melibatkan kumpulan kongsi gelap, kata Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

Beliau berkata sebaliknya, kejadian itu berpunca daripada teguran oleh mangsa, Allahyarham Ismail Ahmad, 58, kepada suspek sebelum berlaku salah faham antara mereka.

"Siasatan mendapati, sebelum kejadian mangsa telah menegur seorang daripada suspek yang menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan Tapak Projek Perumahan Seira 4, Bukit Banyan dekat Sungai Petani yang dijaga oleh mangsa.

"Mangsa yang cedera parah akibat dipukul dan ditetak telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.30 petang semalam di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diterima telah menjurus kepada penangkapan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Wan Hassan berkata, kes itu pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan namun selepas mangsa meninggal dunia, kes diklasifikasikan sebagai Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Hari ini, seorang suspek telah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan telah ditahan di Penjara Alor Setar manakala seorang lagi suspek diletakkan di bawah jaminan bon mahkamah sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang meneruskan siasatan bagi mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kejadian itu.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat atau menularkan sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat,” katanya. - Bernama