Ditetak dengan parang selepas tegur penunggang motosikal

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pengawal keselamatan cedera akibat dipukul dan ditetak dengan parang oleh tiga lelaki dipercayai kerana menegur kelakuan seorang penunggang motosikal di sebuah tapak projek perumahan di Bukit Banyan, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang berusia 58 tahun cedera di kepala dan luka di tangan kiri.

Katanya, siasatan mendapati mangsa sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pos pengawal tapak projek perumahan di Bukit Banyan ketika didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang kemudian memukul dan menetak mangsa dengan parang.

"Punca kejadian dikatakan kerana mangsa menegur seorang lelaki yang didakwa menunggang motosikal secara berbahaya di lokasi tapak projek tersebut.

"Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 41 dan 37 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.