ASEAN bincang wujud satu kerangka tangani isu dana kemanusiaan

Saifuddin dan Abdul Latiff melawat tapak pameran sempena Sambutan Hari ASEAN ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) di Puchong pada Isnin. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

A
A
A

PUCHONG - Persekutuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sudah membincangkan satu kerangka kerja di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengelak sebarang pertikaian berhubung dana yang diperoleh pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi tujuan kemanusiaan di rantau ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerangka akauntabiliti itu sedang dibincangkan kerana wujud kesedaran dalam kalangan negara yang terlibat dengan bantuan kemanusiaan sama ada datangnya daripada pihak kerajaan ataupun masyarakat sivil.

Menurut beliau, langkah ini perlu bagi memastikan setiap dana yang diperoleh CSO untuk tujuan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Sekarang rakyat bertanya dan apabila sejumlah wang dikumpul dan dibelanjakan, sejauh mana wang itu dibelanjakan sampai kepada sasaran. Kita tidak mahu sebarang tuduhan dibuat, jadi kena wujudkan kerangka kerja,” katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan Hari ASEAN ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di sini pada Isnin.

Saifuddin dan Abdul Latiff beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis Sambutan Hari ASEAN ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) di Puchong pada Isnin.. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Saifuddin berkata, antara CSO tempatan yang aktif di rantau ini ialah Mercy Malaysia, Agensi Bantuan Malaysia (MRA) dan Yayasan Salam.

Mengulas lanjut mengenai War Room Nadma yang sudah dinaik taraf di Puchong, Saifuddin berkata, ia diharap dapat melicinkan kerja-kerja bantuan kemanusiaan apabila sesuatu bencana berlaku.

“Nadma memainkan peranan di luar negara apabila berlaku bencana alam dan sebagainya. Kita memang berterima kasih kepada Nadma dengan kerjasama badan-badan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang sentiasa bersedia bila diperlukan,” katanya.