Pesilat dedah sebab pakai tudung

Merrywati Manuil memakai tudung ketika Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Ayer Keroh, Melaka bulan lalu. - Foto Facebook Merrywati Manuil
Merrywati Manuil memakai tudung ketika Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Ayer Keroh, Melaka bulan lalu. - Foto Facebook Merrywati Manuil
A
A
A

PESILAT negara, Merrywati Manuil membalas 'teka-teki' ramai pihak mengenai penampilannya yang bertudung ketika Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Ayer Keroh, Melaka bulan lalu meskipun dia beragama Kristian.

Gadis dari Sabah itu menjelaskan tindakannya itu sebagai menghormati dan mengagumi seni silat yang merupakan warisan orang Melayu.

"Banyak yang tertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya Kristian. Silat adalah warisan orang-orang Melayu.

Saya sebagai orang bukan Melayu sangat menghormati, mengagumi dan mencintai silat," katanya menerusi catatan di Facebook pada Ahad.

Merrywati memenangi pingat emas pada kejohanan itu bagi Kategori Solo Kreatif Wanita sekali gus memegang status juara dunia.

Gadis berketurunan Murut itu antara penyumbang tujuh pingat emas skuad silat negara di kejohanan tersebut sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Merrywati memberitahu, walaupun tidak diwajibkan untuk menutup bahagian kepala tetapi dia selesa memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan.

"Tudung bukan sahaja wajib untuk menutup aurat bagi wanita Melayu, tetapi bagi saya untuk nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan," ujarnya.

Merrywati menjelaskan, tiada paksaan daripada mana-mana pihak yang memintanya untuk mengenakan tudung, sebaliknya menghormati ilmu yang dipelajari oleh orang Melayu itu.

"Semestinya tiada paksaan dari mana-mana pihak. Saya belajar ilmu orang Melayu sudah tentu saya mengikuti dan melakukan apa yang saya pelajari.

"Semoga persoalan berkaitan memakai tudung ini terjawab. Aihh jangan serius bah kita kita juga baini. Kalau orang Melayu ada Mat Kilau, saya orang Murut ada Aki Antanom," katanya.

Aki Antanom merupakan wira tempatan yang memimpin orang Murut untuk menentang Syarikat Borneo Utara British satu ketika dahulu.