154 individu ditahan dalam Ops Mule Khas di Pahang

Ramli menunjukkan laporan statistik berkait kes jenayah komersial Kontinjen Pahang pada sidang akhbar JSJK Pahang pada Isnin.
Ramli menunjukkan laporan statistik berkait kes jenayah komersial Kontinjen Pahang pada sidang akhbar JSJK Pahang pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 154 individu termasuk 47 wanita di negeri ini telah ditahan kerana didapati memberi, meminjam dan menjual akaun bank mereka kepada pihak ketiga atau sindiket penipuan.

Semua suspek berusia 21 hingga 64 tahun itu ditahan dalam Ops Mule Khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang sepanjang Julai lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yusoof berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada penganggur, pekerja swasta, peniaga dan kakitangan awam.

Menurutnya, jumlah tangkapan yang dibuat melibatkan keldai akaun itu melebihi sasaran ditetapkan JSJK Bukit Aman dengan 150 tangkapan.

"Kita dapati sindiket membayar antara RM600 hingga RM1,000 untuk menggunakan akaun individu terbabit dipercayai bagi aktiviti penipuan.

"Pihak yang didapati membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti penipuan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar JSJK Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Isnin.

Dalam pada itu, Ramli berkata, sepanjang tempoh tujuh bulan tahun ini, pihaknya telah menerima 6,338 laporan polis berkait kes penipuan di Pahang.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 1,203 kertas siasatan telah dibuka dengan daerah Kuantan mencatatkan kertas siasatan tertinggi dengan 609 kes.

"Sebanyak 588 kertas siasatan telah dilengkapkan dan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan sepanjang tempoh itu.

"Sementara itu bagi jumlah kerugian kes jenayah komersial di Pahang dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini sebanyak RM31.4 juta berbanding RM25 juta dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.