Apabila ibu bapa tergamak bunuh anak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ANAK adalah amanah ALLAH yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak yang lahir, dilahirkan di atas fitrah (suci). Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi, atau Nasrani.” (HR Bukhari dan Muslim).

Anak anugerah ALLAH, anak juga ujian daripada ALLAH. Ibu bapa yang baik pasti akan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak mereka.

Malangnya, ada segelintir ibu bapa yang bertindak kejam terhadap zuriat sendiri. Ini bukan kisah dongeng tetapi satu realiti yang mana banyak kes yang dilaporkan mengenai perlakuan jenayah ibu bapa kandung yang tidak berhati perut.

Pada Selasa minggu lalu, dua kanak-kanak warga Myanmar maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai dicampak bapa mereka dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berketinggian 20 meter di Kuala Lumpur. Si bapa pula turut ditemukan mati di tempat kejadian.

Di Batu Pahat pula seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh anak perempuannya yang berusia 11 tahun pada 14 Julai lalu.

Pada 16 Mac lalu dilaporkan seorang ibu ditahan kerana disyaki mendera anak perempuannya yang berusia setahun 11 bulan sehingga maut hanya kerana tidak tahan mendengar tangisan anaknya dalam kejadian di Teluk Intan, Perak.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, ibu bapa kandung merekodkan jumlah peratusan tertinggi sebagai pelaku jenayah kes penderaan kanak-kanak bagi tempoh tiga tahun sejak 2018.

Pada 2018, polis terima sebanyak 456 kes manakala pada 2019 pula 534 kes dan tahun lalu dengan 501 kes.

Daripada jumlah keseluruhan itu, ibu bapa kandung menjadi pelaku tertinggi kes penderaan dengan 46 peratus diikuti pengasuh atau pusat jagaan dengan 27 peratus.

Bagi ahli keluarga lain termasuk ibu bapa saudara, keluarga angkat, datuk dan nenek pula mencatatkan sebanyak 18 peratus dan selebihnya iaitu sembilan peratus adalah ibu bapa tiri.

Faktor penyebab

Kajian komprehensif yang dilakukan oleh Journal Forensic Science International berdasarkan 94,146 kes tangkapan yang dijadualkan dalam tempoh lebih daripada 32 tahun oleh U.S. Federal Bureau of Investigation's Supplementary Homicide Reports (SHR) mendapati sebanyak 500 kes kematian kanak-kanak adalah sebab dibunuh ibu bapa.

Sebanyak 72 peratus daripada pembunuhan itu melibatkan anak yang berusia enam tahun ke bawah, 28 peratus lagi melibatkan bayi yang berusia bawah satu tahun manakala 40 peratus kematian dilakukan si ibu dan 60 peratus dilakukan si bapa.

Apa yang menyebabkan ibu bapa tergamak bertindak sedemikian? Di mana kasih sayang ibu bapa pada anaknya? Mengapa mereka sanggup membunuh anak sendiri?

Pakar psikiatri dan ahli forensik dari Amerika Syarikat, Dr Phillip J Resnick mendedahkan beberapa sebab mengapa ibu bapa sanggup membunuh anak sendiri.

Antaranya ialah rasa anak akan hidup lebih baik - kes seperti ini selalunya berlaku jika anak tersebut menghidap penyakit kronik dan akan meninggal dunia.

Menurut Resnick, terdapat kes bunuh yang berlaku kerana ibu bapa mengalami gangguan mental seperti masalah psikosis akut selain ada ibu bapa yang merasakan anak itu sebagai satu ‘beban’. Ada juga kes terjadi kerana si ibu atau si bapa mahu membalas dendam kepada pasangan.

Tambahnya, adakala kejadian bunuh anak berlaku 'secara tidak sengaja' kerana ibu bapa cuai. Ia biasa berlaku jika ada kes penderaan. Penderaan yang berterusan boleh menyebabkan kecederaan badan, kepala dan urat saraf hingga boleh membawa maut.

Dalam situasi hidup yang semakin ‘menekan’ ketika ini, penulis faham mungkin kita sebagai ibu bapa mudah hilang sabar.

Namun, penulis berharap jika anda mempunyai masalah, dapatkan bantuan, jangan takut untuk menyuarakan masalah anda kepada orang sekeliling.

Belajar untuk mengendalikan stres, ambil masa untuk 'lari' daripada tanggungjawab seketika bagi merehatkan minda dan tubuh selain memperbaiki perspektif terhadap masalah, contohnya melihat hikmah dan kebaikan yang datang daripada sesuatu ujian.

*Puperahaizad Darsono ialah Penyunting Sinar Harian