Guna teknologi atasi halangan bahasa

Penulis menggunakan teknologi melalui telefon pintar dalam mengatasi halangan bahasa tersebut.
Penulis menggunakan teknologi melalui telefon pintar dalam mengatasi halangan bahasa tersebut.
A
A
A

MASALAH komunikasi memang menjadi satu cabaran besar untuk penulis sejak menjejakkan kaki di tanah besar China, hanya bahasa Mandarin sahaja yang kedengaran meskipun ketika mereka sedang berkomunikasi dengan warga asing.

Ia merupakan bahasa pertuturan utama di negara yang mempunyai seramai 1.4 bilion penduduk dan menjadi bahasa cukup berkuasa di dunia ini.

Penulis yang kini berada di ibu negara China iaitu Beijing mendapati ramai rakyat di negara ini tidak memahami bahasa lain termasuk bahasa Inggeris walaupun bertanyakan soalan biasa, ‘Where is restroom?’ kepada petugas di hotel.

Bukan sahaja di hotel, di gerai makan, pasar raya, muzium dan juga syarikat besar yang mempunyai pengaruh juga, penulis berdepan masalah komunikasi yang sama.

Tidak ketinggalan, dalam aplikasi yang dikendalikan oleh China juga tidak mempunyai pilihan bahasa lain melainkan Mandarin.

Oleh yang demikian, bagi memudahkan komunikasi berlangsung, penulis menggunakan teknologi melalui telefon pintar dalam mengatasi halangan bahasa tersebut.

Halangan bahasa bermaksud sesebuah negara tersebut hanya membenarkan penggunaan bahasa kebangsaan dan menyekat bahasa luar untuk digunakan di dalam negara.

Ia merupakan satu cabaran besar apabila berada di bumi yang kaya dan kuat dengan pegangan budaya.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Etnolog, Mandarin merupakan bahasa kedua terkenal dan digunakan di dunia dengan sebanyak 1.1 bilion pengguna di belakang bahasa Inggeris (1.45 bilion pengguna).

Oleh yang demikian, antara inisiatif yang telah digunakan penulis adalah dengan menterjemah terlebih dahulu perkataan kepada Mandarin dahulu sebelum bertanyakan sebarang soalan.

Penulis turut menggunakan aplikasi khas untuk menterjemahkan bahasa Mandarin kepada bahasa Inggeris.

Sementara itu, di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu supaya bahasa Melayu dimartabatkan dan meminta penjawat awam memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Ia harus dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

Pada tahun 2017, dilaporkan seramai 281 juta orang menggunakan bahasa Melayu dan mungkin angka itu lebih ramai pada hari ini.

Penulis berharap suatu hari nanti bahasa kita juga akan berkembang dengan pesat sama seperti bahasa dunia yang lain.

*Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC).