Banjir: Jangan guna alasan hujan lebat

Gobind mendengar penjelasan dari pegawai JPS yang berada di lokasi.
Gobind mendengar penjelasan dari pegawai JPS yang berada di lokasi.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - "Jangan guna alasan hujan luar biasa dan semua pihak berkaitan perlu bersedia apabila berhadapan situasi ini kerana ia melibatkan kerosakan harta benda dan nyawa," tegas Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo susulan banjir kilat di sepanjang Sungai Kuyoh di sini, semalam.

Gobind berkata, perkara ini perlu diselesaikan segera, disusuli dengan penyelesaian jangkamasa panjang bagi mengelak insiden sama berulang.

Menurut Gobind lagi, isu sama pernah berlaku sebelum ini namun berjaya diselesaikan selepas kerajaan negeri salur peruntukan sebanyak RM12 juta bagi naik taraf sungai pada 2009 melibatkan kerja mendalamkan sungai, naik taraf pam dan kolam takungan.

"Kita nampak tindakan itu menunjukkan kesan positif apabila paras banjir kilat mulai menurun walaupun banjir masih berlaku.

"Namun banjir kilat yang berlaku semalam mencapai paras sehingga empat kaki sehinggakan kolam takungan air tak mampu tampung kuantiti air," katanya sewaktu meninjau lokasi banjir bersama ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, hari ini.

Gobind (dua dari kiri) menerangkan sesuatu kepada salah seorang penduduk terjejas.
Gobind (dua dari kiri) menerangkan sesuatu kepada salah seorang penduduk terjejas.

Hujan lebat lebih satu jam petang semalam menyebabkan sepanjang kawasan di Sungai Kuyoh terjejas termasuk Jalan Kuyoh, Kampung Baru Seri Kembangan, Taman Seri Serdang, Serdang Jaya dan Taman Jinma dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Gobind berkata, beliau telah meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelesaikan isu sambungan elektrik pada tiga pam yang masih dalam projek dan dijangka siap pada Jun ini.

"Tiga tambahan pam tersebut sudah dipasang tapi ia masih belum boleh digunakan kerana tiada sambungan elektrik.

"Oleh itu, sebagai penyelesaian sementara, saya minta hal ini diselesaikan segera termasuk menggunakan generator dahulu sebelum penyelesaian jangkamasa panjang," katanya.

Jelas Gobind lagi, semua pihak perlu ambil berat isu ini, cari punca kejadian dan selesaikan.

"Dijangka laporan awal berhubung isu ini diperolehi menjelang petang ini," katanya.

Sementara itu, Hian Wah memaklumkan, pihaknya sedang mengumpul data mangsa terjejas untuk salurkan bantuan antara RM300 sehingga RM500 bagi meringankan beban mereka.

"Setakat ini sebanyak lima rumah terjejas teruk telah dibantu. JPS juga perlu ambil langkah segera termasuk isu Sungai Kuyoh yang masih banyak kerja naik taraf yang perlu dilakukan.

"Memang sebelum ini beberapa penambah baikkan telah dilakukan dengan pembinaan kolam takungan dan pemasangan pam, namun langkah itu masih belum dapat menyelesaikan limpahan air Sungai Kuyoh setiap kali hujan lebat," katanya.

Keadaan semasa kolam takungan.
Keadaan semasa kolam takungan.

Turut terjejas adalah SJK (C) Serdang Baru (2) yang melibatkan sekurang-kurangnya 20 kelas dimasuki air dan kerja pembersihan giat dijalankan, pagi tadi.

Guru Besar SJK (C) Serdang Baru (2), Hor Jun Hin berkata, pihaknya belum dapat mengganggarkan jumlah kerugian kerana sedang membuat kiraan.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan murid sekolah sesi petang terpaksa dilepaskan awal, namun tetap tersangkut tidak boleh pulang disebabkan jalan utama turut dinaiki air.

"Persekolahan masih berjalan seperti biasa dan dewan digunakan sebagai kelas sementara sehingga kerja pembersihan selesai dilakukan. Tiada keperluan sekolah ditutup dan dijangka kerja pembersihan dijangka selesai hari ini," katanya.

Kerja pembersihan giat dijalankan di SJK (C) Serdang Baru (2).
Kerja pembersihan giat dijalankan di SJK (C) Serdang Baru (2).