Mara ke final, Terengganu beri bonus kepada Skuad Penyu

Gambar kecil: Ahmad Samsuri Mokhtar
Gambar kecil: Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KERAJAAN Terengganu akan memberikan ganjaran dalam bentuk bonus kewangan kepada pasukan Terengganu FC (TFC) yang mara ke pentas akhir Piala FA buat kali pertama sejak 2011.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang enggan mendedahkan jumlah ganjaran tersebut berkata, ia merupakan satu penghargaan daripada kerajaan negeri buat para pemain yang telah mempamerkan aksi cemerlang dan berjuang sehingga detik akhir perlawanan bagi menamatkan kemarau 11 tahun untuk beraksi dalam final Piala FA.

"Sebenarnya dalam motivasi saya kepada pemain-pemain sebelum perlawanan, saya ada maklumkan kepada mereka bahawa ganjaran akan diberikan sekiranya dapat masuk ke (peringkat) akhir.

"Ternyata mereka berjaya menempah tiket ke peringkat akhir dan ini merupakan satu sejarah juga untuk kita di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Wisma Darul Iman di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, akan ada ganjaran lain menanti skuad Penyu sekiranya mereka berjaya menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir nanti dan seterusnya membawa pulang Piala FA.

TFC di bawah kendalian Nafuzi Zain berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan penalti pada perlawanan separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Sabtu.

Kali terakhir pasukan itu layak ke pentas akhir ialah pada 2011 di bawah bimbingan ketua jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk mengutamakan projek-projek yang memberi impak sosial dan ekonomi yang lebih kepada rakyat, susulan langkah penjimatan perbelanjaan diambil kerajaan Persekutuan.

"Saya tidak ingin gunakan istilah ditangguhkan tetapi kita utamakan mana-mana yang memberi impak sosial, ekonomi yang lebih kepada rakyat. Itu kita dahulukan. Senarainya panjang projek-projek yang ingin dilaksanakan kerajaan negeri. Kita utamakan yang penting terlebih dahulu. Yang lain kita kemudiankan,” katanya ketika ditanya sekiranya terdapat projek-projek yang terpaksa ditangguhkan.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua projek pembangunan yang belum dimulakan, akan ditangguh atau dibatalkan terus sebagai menyahut langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam’. - Bernama