Selangor cadang tingkat elaun guru KAFA

Mohd Zawawi ketika ditemui dI Program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama, di sini pada Ahad.
Mohd Zawawi ketika ditemui dI Program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama, di sini pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan untuk meningkatkan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) untuk berdepan krisis ekonomi yang berlaku pada saat ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya mencadangkan untuk meningkatkan elaun tersebut sebanyak RM100 daripada jumlah sedia ada RM1,000.

Menurutnya, cadangan tersebut akan diusulkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor dalam masa terdekat.

"Bagi membantu tingkatkan kualiti dan taraf profesion guru KAFA ini, saya cadangkan ada kenaikan elaun supaya mereka dapat bertahan dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

"Mungkin RM100 sebulan, tu antara cadangannya. Ia akan diputuskan dalam Majlis MMKN Selangor," katanya ketika ditemui di Program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi turut memberikan respons berkenaan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru yang diumumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.

Ujarnya, satu semakan akan dibuat dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana pelaksanaan perkara tersebut di bawah agensi berkenaan.

"Di pihak Selangor, sebenarnya kita sedang meneliti tentang implikasi kewangan yang perlu ditanggung oleh kerajaan Selangor kerana kita mempunyai kira-kira 7,000 orang guru KAFA.

Artikel Berkaitan:

"Jadi implikasi kewangan pastinya akan menjejaskan kerana tempoh 98 hari ini agak panjang dan perlu guru ganti dan sebagainya.

"Kita kaji tentang implikasi dan kesan-kesan lain," katanya.

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menafikan dakwaan mengatakan kerajaan tidak mengambil berat terhadap kebajikan 35,000 guru KAFA di dalam negara.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan peningkatan kebajikan kumpulan tersebut termasuk dalam hal berkaitan dengan status perjawatan.

Katanya, pendapatan guru KAFA telah ditingkatkan sejak 2016 dari RM700 kepada RM1,000 pada masa kini.