Idris nafi kerajaan abai kebajikan guru KAFA

Idris
Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menafikan dakwaan mengatakan kerajaan tidak mengambil berat terhadap kebajikan 35,000 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di dalam negara.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan peningkatan kebajikan kumpulan tersebut termasuk dalam hal berkaitan dengan status perjawatan.

Katanya, pendapatan guru KAFA telah ditingkatkan sejak 2016 dari RM700 kepada RM1,000 pada masa kini.

“Sebab itu dalam hal ini kerajaan sendiri melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membiayai sebanyak RM481 juta untuk guru KAFA.

“Ertinya daripada peruntukan lebih kurang RM1.5 juta untuk Jakim hampir dekat setengah juta ialah untuk guru KAFA,” katanya dalam satu program yang bersiaran langsung di TV Alhijrah pada Jumaat.

Idris berkata, pendapatan yang diterima oleh guru KAFA itu juga perlu mengambil kira tahap tugasan dipikul oleh kumpulan berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, aspek kebajikan juga telah berevolusi melalui beberapa penambahbaikan seperti pengenalan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kita juga sediakan kemudahan lain antaranya seperti cuti berelaun, cuti rehat khas selama tujuh hari setahun, cuti sakit tidak melebihi 15 hari setahun dan cuti tanpa rekod untuk cuti peristiwa,” ujarnya.

Mengulas mengenai penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru (KAFA), Idris berkata, cadangan penambahbaikan itu tidak dapat dilaksanakan kekangan dalam prosedur peruntukan kewangan.

Jakim pada awal tahun ini mengumumkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari diberi kepada guru KAFA.

Dilaporkan, kemudahan itu akan diberi sekali sepanjang tempoh kontrak lantikan semasa yang sedang berkuat kuasa dan selaras penambahbaikan Peraturan KAFA Tahun 2022 yang memasukkan perkara berkaitan cuti bersalin berelaun selama 60 hari.

Dalam pada itu, Idris memaklumkan bilangan guru KAFA diunjurkan bakal meningkat kepada 38,000 orang selari dengan keperluan untuk memenuhi permintaan terhadap pendidikan agama tersebut.

Katanya, setakat ini seramai kira-kira 1.32 juta murid di seluruh negara mengikuti kelas KAFA.