FA perlu fokus pembangunan akar umbi

Hamidin (tengah) ketika menghadiri Kongres Tahunan FAM Ke-58, 2022 pada Sabtu. - Foto Bernama
Hamidin (tengah) ketika menghadiri Kongres Tahunan FAM Ke-58, 2022 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KESEMUA persatuan bola sepak (FA) perlu lebih fokus bagi meneruskan segala urusan dari segi pentadbiran, pengurusan sehinggalah kepada pembangunan, akademi dan sebagainya demi memastikan kesinambungan pembangunan bola sepak.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, pihak persatuan bola sepak ini juga perlu memastikan mereka memiliki dana yang mencukupi dalam usaha memastikan segala perkara berkenaan berjalan lancar.

Malah katanya, pihak persatuan juga bertanggungjawab untuk menggerakkan segala aktiviti seperti pertandingan atau kejohanan termasuk melahirkan generasi pemain serta pengadil pada masa hadapan.

“Sebelum ini pihak FA memberikan fokus kepada pasukan utama, tetapi kini pasukan utama sudah bertaraf FC dan berada di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Bagaimanapun, pihak FA masih bertanggungjawab untuk terus memberikan fokus dari segi pembangunan akar umbi, teknikal dan sebagainya,” pada sidang media sempena Kongres Tahunan FAM Kali Ke-58 di Hilton Petaling Jaya, pada Sabtu.

Untuk rekod, kesemua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) kali ini merupakan pasukan yang berstatus FC sepenuhnya selaras dengan proses penswastaan yang dilaksanakan pada penghujung 2020 lalu.

Sementara itu pada sidang media sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram berkata, FAM juga saling berhubung dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung penganjuran Liga Bola Sepak KPM.

Katanya, penganjuran Liga KPM yang sepatutnya bermula pada penghujung tahun ini telah ditunda ke tahun hadapan berikutan beberapa kekangan.

“Sepatutnya Liga Bola Sepak ini dianjurkan tahun ini, setelah ditunda kerana pandemik sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita sentiasa berhubung dengan pihak KPM perkara ini dan dijangka kejohanan ini akan kembali dianjurkan pada tahun hadapan,” jelasnya.

FAM bersiap sedia hadapi kitaran kedua F:30

Sementara itu, FAM sedang giat membuat perubahan dan penyusunan semula isi kandungan Peta Hala Tuju, F:30 dalam menghadapi kitaran keduanya bermula 2023 sehingga 2026 yang dijangka dilancarkan pada tahun depan.

Hamidin berkata kitaran baharu itu berpaksikan kepada langkah yang lebih praktikal dan realistik dengan mengambil kira situasi semasa dan segala bentuk pengaruh dalaman serta luaran.

Beliau berkata, antara tumpuan utama dalam kitaran kedua adalah memperkasakan setiap ahli FAM melalui program Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) 2.0 dan Extra-Time.

"Satu proses penilaian semula akan digerakkan oleh Jawatankuasa Hubungan dan Pembangunan Ahli dalam masa terdekat. Untuk peringkat permulaan, berkemungkinan dua atau tiga projek rintis akan dilancarkan untuk dijadikan panduan sebelum ia digerakkan secara menyeluruh.

"Dalam situasi dengan keadaan ekonomi negara masih belum kukuh sepenuhnya, setiap kita perlu menyelami peranan diri dan menghidu setiap peluang untuk menjana pendapatan," katanya dalam ucapan pada Kongres FAM Ke-58 di Petaling Jaya pada Sabtu.