Perbincangan gabungan politik besar jadi tumpuan Bersatu

Saifuddin ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran buku bertajuk GentaTelah Berbunyi, Masa Untuk Generasi Baru tulisan penulis dan budayawan, Raja Ahmad Aminullah di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) Clubhouse pada Sabtu.
Saifuddin ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran buku bertajuk GentaTelah Berbunyi, Masa Untuk Generasi Baru tulisan penulis dan budayawan, Raja Ahmad Aminullah di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) Clubhouse pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berbincang mengenai keperluan meluaskan kerjasama dengan parti lain bagi membentuk gabungan politik lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu dilihat penting untuk memastikan kestabilan politik selepas PRU.

“Apa yang saya tahu Bersatu memang percaya kepada penggabungan (parti politik) besar kerana bagi Bersatu persoalan utama bukan sekadar menang pilihan raya tetapi kestabilan politik.

“Ini supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat selepas PRU.

“Oleh demikian, soal gabungan politik itu setakat saya berbincang dalam Bersatu masih menjadi perkara diberikan tumpuan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan keperluan untuk menggunakan pendekatan 'khemah besar' bagi menghadapi PRU15.

Saifuddin berkata, beliau tidak cenderung untuk menggunakan istilah ‘khemah besar’ dalam membincangkan mengenai kerjasama politik antara parti.

“Kerana istilah ini lain orang ada lain makna. Jadi istilah lebih selesa ialah penggabungan parti politik," katanya.

Bersatu ketika ini membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada antaranya Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).