JDT tempah slot final Piala FA

Arif Aiman (kiri) diasak pertahanan Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Bernama
Arif Aiman (kiri) diasak pertahanan Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan slot perlawanan Piala FA selepas berpesta gol membenam Penang FC 6-1, pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Harimau Selatan menguasai perlawanan sebaik wisel dibunyikan dengan pemain sayap Arif Aiman Hanapi menjaringkan hatrik, melengkapkan malam pesta gol skuad kendalian Hector Bidoglio itu.

Pemain import sensasi dari Brazil, Bergson Da Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-19, sebelum Fernando Martin Forestieri menambah jaringan lima minit kemudian selepas menyudahkan tandukan Shane Thomas Lowry.

Pada babak kedua, hanya tiga minit selepas permainan bersambung, Arif Aiman dengan mudah menyempurnakan hantaran jauh Forestieri pada minit ke-48, sebelum sekali lagi menjaringkan gol tiga minit kemudian.

Anak buah Datuk Zainal Abidin Hassan yang agak lambat menemui rentak permainan, berjaya membolosi gawang JDT pada minit ke-54 menerusi Lucas Espindola Da Silva selepas menerima hantaran Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra.

Namun, kegembiraan Harimau Kumbang tidak bertahan lama apabila Arif Aiman sekali lagi meledakkan gol pada minit ke-61, selepas bijak membolosi pertahanan.

Rembatan padu Muhamad Syahmi Safari pada minit akhir perlawanan menutup tirai jaringan untuk keputusan 6-1 sehingga tiupan wisel penamat.

Menanti anak buah Bidoglio pada perlawanan akhir adalah pemenang perlawanan Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC, yang akan berentap di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu malam esok. - Bernama