Penduduk minta jalan Jerangau-Jabor diselenggara

Antara laluan di jalan Jerangau - Jabor terutama melibatkan kawasan DUN Air Putih didakwa perlu diselenggara. (Gambar kecil: Hasuni)
Antara laluan di jalan Jerangau - Jabor terutama melibatkan kawasan DUN Air Putih didakwa perlu diselenggara. (Gambar kecil: Hasuni)
A
A
A

KEMAMAN - Kerajaan diminta menyelenggara jalan Jerangau-Jabor terutama melibatkan laluan dari Aspa Cottage ke kawasan Air Putih yang didakwa mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Komuniti Kemaman, Terengganu (Peket), Hasuni Sudin berkata, beberapa kawasan melibatkan laluan sejauh kira-kira 50 kilometer (km) itu mengalami kerosakan serta tidak mempunyai garisan jalan.

Katanya, walaupun Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menjadi jalan perhubungan utama, laluan itu masih digunakan dan menjadi laluan utama penduduk yang tinggal di kawasan sekitar.

"Banyak rungutan diterima daripada penduduk berhubung kerosakan dan tahap keselamatan jalan di sesetengah kawasan yang membahayakan pengguna.

"Antara dibangkitkan ialah laluan gelap, tiada lampu jalan, tiada 'reflector' dan 'side table' jalan. Ada juga jalan rosak telah banyak kali diturap dan dilihat perlu untuk diganti baharu.

"Laluan di Cheneh iaitu dari simpang menuju ke Chukai seperti jalan 'koboi' kerana tiada garisan putih sedangkan dari simpang itu terus ke jalan utama sibuk dengan kenderaan. Keadaan itu membahayakan pengguna jalan raya, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

"Kami amat berharap supaya isu berkaitan jalan dialami penduduk di kawasan ini mendapat perhatian kerajaan," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Teladas (Air Putih), Mohd Fazilah Hashim, 55, berkata, keadaan jalan itu bertambah buruk ketika hujan pada musim tengkujuh.

"Saya melalui jalan ini hampir setiap hari atas urusan perniagaan. Apabila hari hujan, laluan itu bahaya kepada pengguna.

"Pada sebelah malam pula keadaan gelap kerana tiada lampu jalan. Lebih bahaya kerana terdapat juga haiwan ternakan yang berkeliaran di sekitar jalan. Kalau boleh sediakan lampu jalan sepanjang setiap satu kilometer sudah memadai," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fazilah meminta supaya laluan dari Kampung Teladas ke Jeram Tanduk yang melalui kawasan Kampung Bukit Buaya turut diberi perhatian kerana sehingga kini ia masih belum diturap.