Fenomena geologi berangkai punca bencana banjir di Baling

Banjir puing yang berlaku di 12 kampung di daerah itu sehingga meragut tiga nyawa adalah disebabkan fenomena proses geologi berangkai. - Foto fail Bernama
Banjir puing yang berlaku di 12 kampung di daerah itu sehingga meragut tiga nyawa adalah disebabkan fenomena proses geologi berangkai. - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling mendedahkan banjir puing yang melanda 12 kampung di daerah itu sehingga meragut tiga nyawa pada Julai lalu adalah disebabkan fenomena proses geologi berangkai.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Rosli Isa berkata, siasatan yang dilakukan oleh pasukan itu turut mengesan ratusan runtuhan tanah kecil berlaku sejak 15 tahun lalu.

"Kejadian tanah runtuh serentak secara meluas itu adalah di terain perbukitan granit terluluhawa," katanya dalam sesi taklimat Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling Kedah kepada media, di ibu pejabat KeTSA, di sini pada Jumaat.

Menurut, ia akibat cetusan hujan lebat melampau di Gunung Inas diikuti pembentukan aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur.

"Tanah runtuh menyumbang kepada 0.3 juta meter padu (m³), aliran puing (2.6 juta m³) dan banjir puing 3.3 juta m³," katanya.

Beliau berkata, tiada tolok hujan di tanah tinggi Gunung Inas berlaku dan pengukuran curahan hujan di Kampung Iboi menunjukkan 36 milimeter (mm) untuk tempoh tiga jam.

"Jumlah ini tidak mungkin mencetuskan tanah runtuh dan aliran puing," katanya.

Rosli yang juga mengetuai pasukan berkata, anggaran berdasarkan kuantiti bahan puing di dalam alur sungai selepas bencana menunjukkan jumlah air sebanyak 11juta meter padu (m³).

"Ia menggambarkan curahan hujan berlaku sekitar 290 milimeter (mm) per jam," katanya.

Beliau berkata, hakisan di hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang berlaku sejak tahun 2010.

"Ia telah meningkatkan kadar hakisan di kawasan tanah tinggi membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai," katanya.

Tambah Rosli, keadaan tersebut diburukkan lagi apabila jambatan Kampung Iboi menjadi ‘empangan sementara’ ketika banjir puing berlaku.

"Ini menyebabkan banyak puing pasir dan kayu-kayan terkumpul lalu pecah serta menghasilkan kuasa damparan tinggi serta mengakibatkan kematian dan kemusnahan harta benda," katanya.

Ujarnya, kolam takungan air, tandak dan kolam perangkap lodak di sepanjang alur sungai tidak memainkan peranan dalam bencana ini, sebaliknya menjadi mangsa kepada rempuhan aliran puing.

"Tanah runtuh menyumbang kepada 0.3 juta m³ dan aliran puing (2.6 juta m³) sementara banjir puing (3.3 juta m³)," katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, sebanyak 2.3 juta m³ bongkah, kerikil dan pasir berada di atas kawasan tanah tinggi.

"Jangan risau ia tidak akan dibawa turun oleh banjir biasa," katanya.

Menurutnya, sebanyak 7.3 juta m³ sisa puing telah di bawa arus.

"Kampung-kampung di kawasan tersebut akan dilimpahi dengan pasir, sungai menjadi cetek dan banjir yang lebih kerap," katanya.

Bencana banjir dan kepala air yang berlaku kira-kira jam 4 petang pada 4 Julai lalu itu menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun, termasuk seorang wanita hamil ditemukan maut selepas dihanyutkan arus banjir di Kampung Iboi.

Sebanyak 17 buah rumah musnah sepenuhnya, 70 rumah rosak dan 3,546 penduduk terkesan dengan kerugian dianggarkan RM25.9 juta.