PRU15: Bersatu Johor rombak struktur kepimpinan negeri

Uzzair (kanan) menerima watikah pelantikan daripada Dr Sahruddin pada Khamis.
Uzzair (kanan) menerima watikah pelantikan daripada Dr Sahruddin pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor melakukan rombakan struktur organisasi parti di peringkat negeri sebagai usaha dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Bersatu Johor, Uzzair Ismail berkata, rombakan tersebut juga bagi melancarkan gerak kerja Badan Pimpinan Bersatu Johor.

Menurutnya, penyusunan semula kepimpinan negeri tersebut dilakukan dan dipersetujui dalam satu mesyuarat pada Khamis yang dipengerusikan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

"Ketua Bersatu Bahagian Ledang, Mohd Solihan Badri dilantik sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor sementara Ketua Bersatu Bahagian Sekijang, Uzzair dilantik sebagai Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Johor.

"Mohd Rashid Hasnon dilantik sebagai Bendahari Badan Pimpinan Bersatu Johor manakala Ketua Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Ir Mohd Khairulfadhlan Mohd Dzurri dilantik sebagai Ketua Penerangan Badan Pimpinan Bersatu Johor.

"Pelantikan ini sebahagian ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi Bersatu Johor pimpinan Datuk Dr Sahruddin Jamal selaku ketua sekali gus menterjemahkan kesiapsiagaan parti menghadapi PRU15 pada bila-bila masa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, dalam mesyuarat tersebut, Bersatu Johor turut membincangkan secara terperinci mengenai strategi dan pendekatan intervensi khusus Bersatu bagi membantu rakyat yang berhadapan dengan isu kenaikan harga barang serta kos sara hidup.

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut turut menyentuh tentang kejadian banjir kilat yang melanda bandar raya ini pada Selasa.

Beliau berkata, Bersatu Johor menggesa kerajaan negeri memberi tumpuan penuh dalam menyelesaikan masalah sistem perparitan dan saliran utama sedia ada agar tidak berulang pada masa depan.

"Tindakan yang boleh dilaksana adalah menyelenggara dan menaik taraf peralatan mekanikal melibatkan sistem pam agar dapat berfungsi pada kapasiti maksimum dan bukan hanya menyalahkan kadar taburan hujan yang tinggi sebagai asbab berulangnya kejadian banjir kilat," katanya.