Saksi sanggup bayar RM19 juta hentikan siasatan projek terowong

LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa, beliau sanggup membayar RM19 juta kepada seorang ahli perniagaan bagi menghentikan siasatan ke atas projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 63, berkata demikian ketika prosiding bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan serta dua lagi kes menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong di negeri itu bernilai RM6.3 billion.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, sanggup melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada untuk menghentikan siasatan terhadap Guan Eng.

“Saya patuh padanya dan buat apa sahaja yang saya boleh, malah itu yang saya buat, bukan itu sahaja, saya juga cuba dekati pihak kamu.

“Ya, saya sanggup bayar demi melindungi dan hentikan siasatan terhadap Guan Eng,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Bagan itu.

Zarul Ahmad berkata, wang RM19 juta itu diberi kepada seorang ahli perniagaan, dikenali Gnanaraja.

Gobind: Datuk beri wang itu kepada seorang ‘kaki tipu’?

Zarul Ahmad: Ya, saya tak tahu masa itu dia kaki tipu.

Gobind: Orang itu ialah Gnanaraja?

Zarul Ahmad: Ya.

Gobind: Gnanaraja adalah orang yang dakwa, rapat dengan bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak?

Zarul Ahmad: Ya.

Saksi utama itu berkata, dia sanggup untuk menyediakan jutaan ringgit kerana beranggapan, wang tersebut kononnya akan disampaikan kepada Najib.

Ini menyebabkan Gobind berkata, ia tidak masuk akal kerana Zarul Ahmad yang secara berterusan mahu melindungi Guan Eng namun dalam masa sama, boleh mendekati musuh politiknya, Najib.

Ini kerana Zarul Ahmad bersetuju bahawa penganugerahan projek terowong itu kepada syarikatnya sentiasa dikritik oleh pemimpin UMNO yang juga pembangkang di Pulau Pinang.

Beliau berkata, sekiranya ada sebarang maklumat berkenaan rasuah disampaikan kepada pemimpin UMNO, ia akan menjejaskan projek tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 62, menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Isnin depan.