Hanya 31 kes AEFI diklasifikasi serius

Noor Azmi (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak di ruang lobi AEON Mall Taiping, pada Jumaat.
Noor Azmi (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak di ruang lobi AEON Mall Taiping, pada Jumaat.
A
A
A

TAIPING - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menerima 31 kes kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) yang diklasifikasikan sebagai serius membabitkan kanak-kanak, setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu diperoleh daripada keseluruhan 1.76 juta atau 49.8 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Menurutnya, kesemua kes AEFI serius itu bagaimanapun telah pulih dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan lanjut di hospital.

"Telah diberitahu banyak kali bahawa AEFI ini memang ada, tetapi sikit dan kebanyakannya akan alami demam, bengkak serta sakit sikit, itu sesuatu yang biasa.

"Setakat ini statistik menunjukkan kes serius 31 sahaja, sementara ribuan lagi kesan ringan.

"Ini menunjukkan vaksin yang kita guna sangat selamat dan adalah wajar untuk kita berikan kanak-kanak vaksinasi untuk melindungi mereka daripada jangkitan kuman serta penyakit yang teruk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak di ruang lobi AEON Mall Taiping di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Sirajuddin Hashim dan Pengarah Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Zalma Abdul Razak.

Noor Azmi berkata, kebimbangan ibu bapa mengenai AEFI ketika ini banyak dipengaruhi oleh maklumat tidak sahih di media sosial sehingga mereka takut untuk membawa anak-anak mengambil suntikan.

Katanya, kepercayaan sonsang seumpama itu juga menjadikan penerima vaksin Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di negara ini masih rendah meskipun kerajaan melakukan pelbagai pendekatan.

"Apa yang berlaku sekarang ini bila semua orang nak jadi pemberita yang pertama menyampaikan maklumat sehinggakan sesuatu berita tidak sahih itu dipercayai.

"Ini satu perkara yang menyebabkan orang takut untuk ambil vaksin dan kebimbangannya adalah mengenai kesan vaksin itu sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, kanak-kanak yang menjalani proses penyusuan ibu sekurang-kurangnya enam bulan mampu menghindari penyakit serius, termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Kata beliau, keadaan itu didorong oleh kebaikan susu ibu yang merupakan makanan cukup zat, paling selamat dan bersih, berbanding susu formula.

"Sepertimana kita tahu, susu ibu mampu memberi daya tahan atau antibodi lebih tinggi kepada kanak-kanak.

"Ini membuatkan sistem imun mereka lebih baik untuk menghalang daripada kena penyakit, bukan kepada HFMD sahaja, tetapi semua virus dan bakteria," katanya.

Beliau berkata, KKM telah meletakkan inisiatif penyusuan susu ibu dalam kerangka Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) antaranya Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Klinik Rakan Bayi dan Penubuhan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu.

"Kita turut menggalakkan agar majikan menyediakan ruang khas di tempat kerja sebagai kemudahan golongan ibu memerah susu untuk bekalan bayi mereka semasa hari bekerja.

"Kemudahan seperti taska juga boleh diwujudkan bagi memudahkan ibu-ibu menyusukan bayi mereka secara terus semasa waktu rehat dan menghantar bekalan susu diperah kepada bayi mereka," katanya.