96 peratus graduan UMP dapat pekerjaan

Dr Yusrrie (lima, kanan) memperkenalkan penerima sempena Majlis Konvokesyen Ke-16, UMP di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang.
Dr Yusrrie (lima, kanan) memperkenalkan penerima sempena Majlis Konvokesyen Ke-16, UMP di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kadar kebolehpasaran graduan (GE) Universiti Malaysia Pahang (UMP) melepasi 96 peratus mendapat pekerjaan dan memenuhi kehendak majikan.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pencapaian ini melepasi sasaran pencapaian yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 77 peratus penuntut yang bekerja dalam bidang berkaitan pengajian dan selebihnya mereka ada menjadi usahawan, mengikuti latihan serta menyambung pengajian di peringkat tertinggi.

“Manakala empat peratus mereka dalam proses menunggu untuk mendapatkan pekerjaan dan ada segelintir penuntut yang tidak mahu bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar memperkenalkan penerima sempena Majlis Konvokesyen Ke-16, UMP di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang di sini pada Jumaat.

Majlis Konvokesyen UMP menyaksikan seramai 4,082 penerima graduan bagi tahun 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 9 Ogos ini.

Dr Yuserrie menjelaskan seramai 280 individu merupakan graduan doktor falsafah dan sarjana, graduan saujana pula seramai 2,235 dan diploma (506) serta graduan UMP Advance pula 1,061.

Katanya, Pro Canselor UMP, Tan Sri Dr Abi Musa Asaari Mohamed Nor akan menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah cemerlang kepada seramai 942 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran serta 24 anugerah dan hadiah kecemerlangan bersempena majlis terbabit.

“Daripada jumlah tersebut seramai 22 graduan menerima dua ijazah dalam program Dual Ijazah UMP-HKA hasil kerjasama UMP dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman yang kini memasuki tahun ke-12 dengan memfokuskan bidang Kejuruteraan Automatif dan Kejuruteraan Mekatronik.

“Dalam majlis ini juga, Abi Musa akan menyampaikan ijazah kepada seramai 563 graduan pada sesi ketiga, 837 graduan, pada 7 Ogos.

“Untuk sesi keempat melibatkan seramai 808 graduan disampaikan oleh Dr Yuserrie pada 9 Ogos (Selasa) iaitu sesi kelima seramai 842 dan sesi keenam melibatkan seramai 654 graduan,” katanya.

Dr Yuserrie memaklumkan terdapat 20 program disediakan sepanjang Expokonvo UMP bermula 5 hingga 9 Ogos di Dataran Canseleri UMP Gambang.

Ujarnya, Majlis Pelancaran Expokonvo 2022 bakal dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Tambahnya, terdapat pameran STEM dan Inovasi untuk dikunjungi bagi membuka peluang kepada orang awam dalam melihat kepakaran UMP ada di samping memperkenalkan Sains dan Teknologi kepada mereka khususnya para pelajar sekolah.

“la turut membantu pihak UMP dalam membangunkan UMP ke arah universiti yang unggul dengan sains dan teknologi terkini khususnya di kawasan Pantai Timur,” katanya.