Bukan takut ramai anak, tapi risau tak mampu

Semoga kadar kelahiran negara kembali meningkat dan pengurusan ekonomi kita semakin baik. - Foto hiasan 123RF
Semoga kadar kelahiran negara kembali meningkat dan pengurusan ekonomi kita semakin baik. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

STATISTIK Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar kelahiran di Malaysia dijangka terus mengalami penurunan untuk tahun-tahun akan datang.

Penurunan ini sangat membimbangkan sekiranya tiada langkah diambil untuk meningkatkan kembali kadar kelahiran dan memberi kesan lebih teruk sekiranya berterusan untuk tempoh panjang.

Perkara ini perlu ditangani dengan baik kerana jika tidak, isu kadar kelahiran ini mengundang pelbagai masalah pada masa akan datang.

Lebih membimbangkan kadar kelahiran yang rendah boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam masyarakat.

Ia akan menyebabkan Malaysia menuju negara menua dengan peratusan warga tua meningkat lebih banyak selain merisikokan tenaga kerja di negara ini.

Statistik penurunan ini disumbangkan oleh pelbagai faktor. Paling utama dengan situasi ekonomi ketika ini pastinya adalah disebabkan peningkatan kos sara hidup.

Oleh yang demikian, kebanyakan rakyat Malaysia khususnya pasangan yang berkahwin berkira-kira untuk menambah anak.

Dengan keadaan negara yang berada dalam pasca pandemik, untuk menambah ahli keluarga bukanlah menjadi keutamaan.

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff tidak menolak kemungkinan peningkatan kos sara hidup selepas pandemik Covid-19 menyumbang kepada kemerosotan kadar kelahiran yang lebih teruk di negara ini.

Katanya, kebanyakan pasangan lebih berhati-hati untuk menambah anak dengan situasi ketidaktentuan dalam pekerjaan atau pendapatan.

“Kalau sebelum ini terlalu mementingkan kerjaya sehingga lambat berkahwin menjadi trend mempengaruhi kadar kemerosotan kelahiran, tapi kini Covid-19 turut menjadi satu lagi sebab.

“Ramai yang kehilangan kerja atau terpaksa bekerja keras untuk mencari duit. Mereka hanya fokus mencari pendapatan dan berkira-kira untuk mempunyai atau menambah anak.

Dalam erti kata lain, mereka kurang yakin untuk membina keluarga kerana berada dalam keadaan ketidaktentuan,” katanya dalam laporan khas Sinar Harian pada Rabu yang mengupas tentang isu ini.

Dalam pada itu, pakar sosiologi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pula berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak terlalu terikat atau takut untuk mempunyai anak yang ramai walaupun berlaku ketidaktentuan sumber kewangan dan peningkatan kos sara hidup.

Menurut beliau, walaupun setiap pasangan berhak merancang kehamilan, namun jangan sehingga tidak mahu melahirkan zuriat.

“Kita perlu merancang dan berbelanja berhemah. Anak ini sangat penting dalam pelbagai perkara termasuk membantu kepada perkembangan dan kemajuan negara pada masa akan datang,” kata beliau.

Sebenarnya bukan isu takut mempunyai anak yang ramai, sebaliknya keadaan ekonomi semasa yang tidak dapat memberi keyakinan kepada sesetengah pasangan untuk memiliki keluarga yang besar.

Kewangan stabil

Kos sara hidup yang meningkat dan harga barangan semakin tinggi mendorong pasangan lebih mengutamakan soal kewangan yang stabil terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku akibat pandemik Covid-19.

Ramai pasangan yang lebih memikirkan kos dan beban kewangan jika memiliki anak ramai.

Sebenarnya takut ada anak ramai ini bukanlah faktor utama penyumbang kepada penurunan kadar kelahiran di Malaysia. Banyak lagi faktor yang terpalit.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, meletakkan inflasi atau kos sara hidup sebagai punca kepada penurunan kadar kelahiran adalah tidak tepat.

“Statistik tidak signifikan untuk mengatakan seperti itu. Isunya, ramai yang kini tinggal di bandar kerana urbanisasi negara sudah menghampiri 77 peratus.

“Selain itu, trend sejagat menyaksikan seluruh negara bergerak ke dunia moden.Ramai rakyat yang lebih mementingkan untuk mengejar pendidikan dan kerjaya terlebih dahulu sebelum berfikir untuk berkeluarga,” jelas Mohd Uzir.

Oleh itu, menjadi kewajipan kita untuk memahami konsep membina keluarga dan tahu bahawa setiap anak yang dilahirkan datang bersama rezeki.

Merancang untuk hanya mempunyai anak dengan bajet tertentu seolah-olah menyekat rezeki sendiri.

Moden atau tidak, fahamilah konsep rezeki yang sebenar-benarnya.

Semoga kadar kelahiran negara kembali meningkat dan pengurusan ekonomi kita semakin baik.

* Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian