X

Kindly register in order to view this article
!

Equanimity dijual AS$126 juta kepada Genting Malaysia Bhd

Equanimity
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas tempoh lima bulan diumumkan untuk jualan, kapal layar mewah Equanimity akhirnya disahkan dijual kepada Genting Malaysia Bhd ataupun syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV) nya pada harga AS$126 juta (RM514.6 juta).

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada hari ini telah memberikan kelulusan untuk menerima, penjualan Equanimity kepada Genting atas terma-terma dan syarat-syarat Syerif.

"Banyak tawaran yang telah diterima dalam tempoh ini, dan hanya sebilangan kecil sahaja yang melebihi AS$100 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Equanimity tarik minat pembeli seluruh dunia

"Tawaran AS$126 juta ini ialah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan, semenjak Oktober 2018, apabila Equanimity diumumkan untuk jualan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Tommy, memandangkan tawaran daripada Genting dirunding secara terus dengan kerajaan Malaysia, tiada komisen ejen yang perlu dibayar sekali gus membawa kepada penjimatan sebanyak AS$4.4 juta.

"Harga jualan AS$126 juta akan dibayar oleh Genting, dan akan diterima oleh mahkamah pada penghujung April 2019 dan ia bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk kerajaan Malaysia dalam jangka masa cuma lapan bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan.

"Bagi tujuan ketelusan, suatu kenyataan lanjut akan dikeluarkan sebaik sahaja harga jualan diterima, berserta dengan perincian perbelanjaan yang ditanggung, dan jumlah bersih yang akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB yang baru dibuka," katanya.

Tambah beliau, meskipun nilaian harga pasaran Equanimity oleh Winterbotham sebanyak AS$130 juta tidak dicapai, namun pulangan bersih kepada kerajaan Malaysia ialah yang sebaiknya.

"Jualan kehakiman pada nilai AS$126 juta adalah bersejarah, dari mana-mana segi pun. Jumlah ini merekodkan tanda aras yang tinggi bagi sistem kehakiman kita dalam hal memastikan nilai pasaran diperoleh daripada kapal yang dijual melalui proses Mahkamah, tanpa sebarang diskaun.

"Perkara ini harus dipuji, lebih-lebih lagi memandangkan hasil ini dicapai daripada jualan kapal layar besar yang mewah dan sofistikated, yang kumpulan pembelinya adalah terlalu kecil," ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, kejayaan ini dicapai sebahagian besarnya melalui kepakaran dan kemahiran kumpulan perundangan yang mewakili kerajaan Malaysia yang seharusnya diberikan penghormatan.

"Kumpulan perundangan ini telah bertindak melangkaui tuntutan tugas mereka. Mereka juga bertemu pembeli berpotensi di Hong Kong dan London dengan menanggung sendiri kos-kos perjalanan bagi memastikan jangkauan seluas mungkin, dan untuk memahami dengan lebih baik keadaan-keadaan jualan tersebut.

"Usaha mereka dilengkapi dengan kerjasama daripada Syerif Mahkamah yang tangkas dan mantap serta profesionalisme dan kesediaan Hakim Admiralti untuk bertindak dalam keadaan-keadaan yang amat luar biasa," jelasnya.

Sementara itu, kerjasama daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diberikan penghargaan kerana telah banyak membantu dalam hal mengurangkan kos penyelenggaraan Equanimity semasa di bawah tahanan.

"TLDM telah bermurah hati memberikan ruang untuk Equanimity berlabuh selama lebih lima bulan, tanpa sebarang caj dikenakan dan bersama-sama dengan PDRM telah memastikan keselamatan dan kesejahteraan Kapal tersebut semasa di bawah tahanan, malahan telah dengan berhati-hati mengiringi kapal semasa membuat ‘sea trials’ bersama pembeli-pembeli berpotensi," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!