Equanimity tarik minat pembeli seluruh dunia

Equanimity
Equanimity
A
A
A
KUALA LUMPUR – Lelongan kapal pesiaran mewah 'Equanimity’ yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah menarik minat pembeli daripada rantau Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Kapal, yang dilaporkan telah dibina khas untuk Jho Low pada 2014 pada harga US$250 juta (kira-kira RM1 bilion) itu disita di Bali, Indonesia, awal tahun ini, dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia kerana dikaitkan dengan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Tinggi (Bahagian Admiralti) hari ini membuka permohonan pembida untuk membeli kapal tersebut selepas proses bidaan selama sebulan ditutup jam 5 petang semalam.

Walau bagaimanapun, peguam S. Sitpah, berkata, taksiran nilai kapal mewah dan identiti pembida kekal rahsia bagi melindungi privasi pembida dan integriti proses pembidaan sehingga penjualan diselesaikan.

"Sebagai sebahagian proses penjualan kehakiman, kami tidak boleh mendedahkan bilangan nilai daripada tawaran bidaan ini. Sherif (pegawai mahkamah) Mahkamah Tinggi telah menerima tawaran,” katanya yang mewakili Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan di sini hari ini.

Sitpah mengetuai pasukan perundangan untuk empat plaintif – kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiarinya, Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited.

Seperti pembelian mana-mana hartanah, beliau berkata, beberapa langkah susulan akan diambil dan selepas ini Sherif akan berhubung dengan pembida.

"Sifat proses jualan kehakiman adalah untuk mengekalkan keyakinan pembida bahawa identiti dan tawaran mereka tidak akan didedahkan sehinggalah penjualan selesai,” katanya.

Beliau berkata pasukan perundangan berpuas hati dengan cara keseluruhan proses penjualan yang telah dijalankan termasuk sokongan padu dan pemudahan oleh kerajaan, mahkamah dan broker jualan, Burgess, yang dilantik oleh Mahkamah Tinggi.
Artikel Berkaitan:


“Memandangkan pasaran yang sangat khusus, pakar dan elit serta masa singkat Equanimity dibuka untuk jualan, kami telah menarik minat dari seluruh dunia; Asia, Eropah, Timur Tengah, Amerika Syarikat,” katanya.

Pada 24 Ogos lalu, mahkamah tersebut membenarkan permohonan kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual Equanimity.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan empat plaintif berkenaan.

Kapal mewah itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos setelah pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia.

Kapal tersebut disita di Bali pada Februari lalu atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah yang dilancarkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) ke atas 1MDB.

Kapal sepanjang 92 meter itu kini berlabuh sementara di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi. - Bernama