Rayu dana bina masjid

Replika model masjid yang bakal dibina di sini.
Replika model masjid yang bakal dibina di sini.
A
A
A

PETALING JAYA - Jawatankuasa pembinaan masjid di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembinaan rumah ibadat itu yang dijangka bermula Oktober tahun ini.

Pengerusi Pembinaan Masjid Lembah Subang 2, Mohd Jamil Sahat berkata, masjid tersebut akan dibina di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkeluasan 1.38 hektar setelah mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurutnya, projek tersebut memerlukan dana sebanyak RM15 juta, namun sejak kutipan dibuat bermula 2018 jumlah dana baru mencecah sekitar RM4 juta setakat ini.

"Kami harap umat Islam di seluruh Malaysia atau luar negara bantu salurkan infak bagi pembinaan masjid di kawasan Petaling yang dijangka mampu memuatkan sehingga 2,000 orang jemaah dalam satu masa.

"Kawasan sini juga padat dengan penduduk, umat Islam mencecah 5,000 orang, jadi pembinaan masjid di sini sangat diperlukan," katanya kepada Sinar Harian di tapak pembinaan masjid berkenaan di sini pada Khamis.

Projek pembinaan masjid tersebut akan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 1.38 hektar pada Oktober tahun ini. Gambar kecil dari kiri: Mohd Jamil, Aisyah Yeap, Osman
Projek pembinaan masjid tersebut akan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 1.38 hektar pada Oktober tahun ini. Gambar kecil dari kiri: Mohd Jamil, Aisyah Yeap, Osman

Dalam pada itu, Bendahari Pembinaan Masjid Lembah Subang 2, Osman Kasmadi berkata, sebanyak RM8 juta daripada RM15 juta diperuntukan untuk pembinaan masjid tersebut, tidak termasuk kuaters dan infrastruktur lain.

Katanya, walaupun aktiviti promosi giat dijalankan secara dalam talian dan media sosial namun jumlah dana terkumpul masih belum mencukupi.

"Kami mencuba pelbagai cara (cari dana) walaupun banyak pihak yang menyumbang namun ia masih tidak mencukupi.

"Oleh itu, kami perlukan lebih sumbangan daripada seluruh umat Islam untuk membina masjid di sini selewat-lewatnya akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Jawatankuasa Pembinaan Masjid Lembah Subang 2, Aisyah Yeap Abdullah berkata, pembinaan masjid di kawasan tersebut dilihat sebagai satu keperluan mendesak bagi umat Islam di kawasan itu.

"Kawasan Lembah Subang ini memang kekurangan masjid, penduduk Islam di sini terpaksa menempuh perjalanan lebih tiga kilometer ke masjid berhampiran.

"Kami berharap masjid ini dapat dibina secepat mungkin supaya lebih banyak aktiviti dapat dijalankan untuk merapatkan ummah," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun 12131010012861 (Bank Islam) atas nama Tabung Pembinaan Masjid Lembah Subang 2.