'Minyak masak peket subsidi terapung dari Indonesia’

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan penemuan ribuan peket minyak masak dipercayai bersubsidi dari Malaysia berhampiran Pulau Jawa, Indonesia menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. (Annuar)
Pada Selasa Sinar Harian melaporkan penemuan ribuan peket minyak masak dipercayai bersubsidi dari Malaysia berhampiran Pulau Jawa, Indonesia menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. (Annuar)
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memaklumkan maklumat awal diterima mengenai minyak masak peket bersubsidi terapung di laut yang tular di media sosial adalah dari negara Indonesia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, masih belum ada sebarang bukti minyak masak yang terapung di perairan Indonesia itu dibawa dari Malaysia.

“Bagaimanapun, saya telah meminta supaya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) membuat tindakan susulan dengan rakan sejawat di Indonesia untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

“... kerana ada juga yang menyatakan berita itu merupakan berita atau klip (video) yang lama, bukan suatu peristiwa baru berlaku,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Sebelum ini, video tular penemuan ribuan peket minyak masak dipercayai bersubsidi dari Malaysia berhampiran Pulau Jawa, Indonesia menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

Video berdurasi 11 saat itu menunjukkan seorang lelaki sanggup berenang mengutip minyak masak yang terapung di laut dan memasukkannya ke dalam plastik.

Annuar dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian sehinggalah berita itu disahkan oleh pihak lebih berautoriti.

“Saya telah minta pihak media yang menyiarkan berita berkenaan untuk memberikan maklumat lanjut sekiranya ada.

“Sehingga ada kenyataan jelas dan sahih, adalah tidak wajar untuk diandaikan minyak yang ditemui di Indonesia itu adalah minyak bersubsidi daripada negara kita,” jelasnya.