Kerajaan salur RM20.92 bilion bagi program subsidi upah

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.92 bilion kepada 357,904 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia, setakat 15 Julai, 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi PSU 1.0, sebanyak 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencecah nilai RM12.958 bilion setakat tarikh itu.

Beliau berkata, di bawah PSU 2.0 pula, sejumlah RM1.408 bilion telah disalurkan kepada 81,164 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 719,174 pekerja.

"Sementara bagi PSU 3.0 setakat tempoh yang sama, sebanyak RM3.775 bilion telah disalurkan kepada 162,317 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1.53 juta pekerja.

"Malah, PSU 3.0 turut ditambah baik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-105 yang dikeluarkan pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, PSU 4.0 yang dilaksanakan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan peruntukan RM3.8 bilion pula dijangka memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja.

"Setakat 15 Julai, 2022 sebanyak RM2.57 bilion telah disalurkan kepada 163,942 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1.92 juta pekerja,” katanya.

Beliau berkata, bagi PSU 5.0, sebanyak RM210.189 juta telah disalurkan kepada 7,928 majikan setakat 15 Julai, 2022 bagi membolehkan mereka terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 119,813 pekerja.

Di samping itu, sebanyak 33,456 peserta telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui inisiatif program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP) setakat 15 Julai, 2022, katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 17,446 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam manakala 16,010 pekerja lagi di GLC serta rakan-rakan strategik lain.

Tengku Zafrul berkata, dalam pada itu bagi memastikan tempat untuk anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi bidang pekerjaan, kerajaan juga telah menyediakan kuota khas sebanyak satu peratus peluang penempatan untuk program MySTEP kepada golongan berkenaan.

"Kerajaan amat menggalakkan agar warga OKU turut mengambil kesempatan ini dan memohon penyertaan melalui Portal MySTEP,” katanya.

Beliau berkata, Program Latihan dan Pendidikan Profesional bagi Usahawan Yang Sedang Membangun (PROTÉGÉ) Sedia Untuk Bekerja yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) untuk meningkatkan kebolehpasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan lepasan pengajian tinggi telah merekodkan 4,316 orang lulusan baharu, setakat 15 Julai, 2022.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menjayakan program KPT-Program Peningkatan Kerjaya (CAP) sebagai usaha untuk menangani isu lepasan pengajian tinggi menganggur.

Setakat 15 Julai 2022, KPT-CAP berjaya menempatkan 3,618 orang lepasan pengajian tinggi, katanya.

Tengku Zafrul berkata, Skim Perantisan Nasional (SPN) adalah sebuah skim perantisan yang dilaksanakan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi-agensi persekutuan di bawah ketiga-tiga kementerian tersebut.

"Setakat 15 Julai, 2022 sebanyak 4,459 belia baharu telah pun berjaya ditempatkan dengan menggunakan Insentif Penggajian JaminKerja PERKESO khusus buat golongan perantis,” katanya.

Bagi Inisiatif Pemulihan CENDANA, kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta yang dijangka dimanfaatkan oleh 3,000 penerima daripada kalangan seniman dan organisasi di dalam sektor seni dan budaya Malaysia.

"Setakat 15 Julai 2022, terdapat 1,582 jumlah permohonan bagi inisiatif ini di mana sebanyak RM7.50 juta telah disalurkan kepada 590 pemohon,” katanya. - Bernama