73 penjawat awam disiasat kes pemerdagangan orang

Hamzah hadir merasmikan Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah di Sri Damansara pada Khamis.
Hamzah hadir merasmikan Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah di Sri Damansara pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 73 penjawat awam ditahan sejak 2020 untuk siasatan di bawah kesalahan pemerdagangan orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan seramai 33 penjawat awam disiasat dan daripada jumlah itu, 13 orang telah dituduh di mahkamah, 16 dibebaskan dan empat lagi masih dalam siasatan.

Menurutnya, bagi statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula, 40 orang telah disiasat iaitu enam di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, siasatan imigresen (lima orang) dan 27 orang telah dikenakan tindakan tatatertib, buang kerja serta dua telah letak jawatan.

"Kita beri tumpuan ke atas perkara ini, apabila ada terima aduan daripada semua pihak dan seluruh dunia, kita cuba segala ada di tangan kita ini, kalau perlu ditambah baik kita beri penambahbaikan.

"Sebab itu, apa yang kita perlu hari ini adalah kerjasama kerana kita menggunakan dua undang-undang iaitu Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) dan Akta Imigresen 1959/63.

"Kita tidak mahu lagi dalam negara ada perhambaan moden yang menjadikan imej negara buruk," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah di Sri Damansara di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Mengulas mengenai laporan Malaysia kekal berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022, Hamzah berkata, pihaknya akan mendokumentarikan menerusi rakaman video berkenaan operasi serbuan dan tangkapan yang dijalankan pihak berwajib.

Katanya, dalam beberapa tahun sebelum ini, hanya laporan bertulis diberikan untuk Laporan Tahunan Jabatan Negara AS.

"Kali ini, saya mahukan supaya video-video menangkap dan operasi dilakukan. Bila buat tangkapan atau dibebaskan, akan dijadikan satu dokumentari bahawa ini tugas yang telah kita lakukan.

"Semua itu kita lakukan untuk maklumkan kepada dunia bahawa kita tidak ambil mudah begitu sahaja isu ini," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, bagi tempoh 10 tahun, sebanyak 60 peratus kes diterima adalah membabitkan eksploitasi seks wanita dan kanak-kanak selain daripada pemindahan organ manusia dan buruh paksa.

"Bagi Januari hingga Julai tahun ini, seramai 131 mangsa disyaki diperdagangkan telah diselamatkan pihak polis dan agensi lain," katanya.