Butik pakaian 'preloved' SKSP dapat sambutan luar biasa

Butik Qaseh SKSP bukan sahaja bermatlamat meringankan beban golongan B40 namun menjana ekonomi BKGS yang kemudian hasil jualan dimanfaatkan kepada kegunaan dan pembangunan murid. Gambar kecil: Sabariah
Butik Qaseh SKSP bukan sahaja bermatlamat meringankan beban golongan B40 namun menjana ekonomi BKGS yang kemudian hasil jualan dimanfaatkan kepada kegunaan dan pembangunan murid. Gambar kecil: Sabariah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kewujudan butik pakaian terpakai atau 'Prelove' di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani (SKSP) mampu menjana ekonomi sekolah serta merapatkan hubungan antara ibu bapa.

Butik hasil inisiatif Badan Kebajikan Guru dan Staf (BKGS) SKSP menjual pakaian terpakai sumbangan guru-guru yang dijual pada harga RM2 hingga RM10 sehelai.

Naib Pengerusi BKGS SKSP, Umaimah Mohd Khairuddin berkata, butik yang dikenali sebagai Butik Qaseh SKSP itu hanya dibuka sempena program tertentu seperti mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari sukan dan program jaya waris.

"Pakaian termasuk baju, tudung dan kemeja yang dijual adalah hasil sumbangan guru, ahli dan pelbagai pihak di mana keadaannya masih cantik serta boleh dipakai.

"Ada sesetengah koleksi pakaian guru yang tidak muat, disumbangkan di sini dan dijual dengan harga sangat murah, tidak hairanlah ia mendapat sambutan hangat daripada waris dan ibu bapa," katanya.

Menurut Umaimah, hasil jualan sebanyak 60 peratus akan diserahkan semula untuk kegunaan dan pembangunan murid.

Jelasnya, pendekatan itu mampu merapatkan jurang antara warga sekolah dan ibu bapa khususnya golongan B40 selain mengurangkan beban perbelanjaan antara kedua-dua pihak.

Umaimah (tiga kiri) menguruskan Butik Qaseh SKSP bersama ahli BKGS dan dibantu murid SKSP.
Umaimah (tiga kiri) menguruskan Butik Qaseh SKSP bersama ahli BKGS dan dibantu murid SKSP.

Menurutnya, bagi memupuk semangat keusahawanan, murid dibenarkan bertugas bersama BKGS mengikut jadual ditetapkan bagi mengelakkan pertindihan waktu belajar.

"Murid-murid berasa sangat seronok kerana boleh membantu tugas mengemas dan menyusun pakaian mengikut kreativiti masing-masing." katanya.

Sementara itu, Guru Besar SKSP, Sabariah Jumri berkata, dengan adanya platform tersebut, koleksi pakaian guru yang tidak lagi mahu dipakai boleh dihantar ke butik.

"Perhiasan dan perabot juga menggunakan pakai barangan terpakai yang telah dibaik pulih.

"Idea membuka butik ini tercetus kerana para guru ingin menyumbang sesuatu kepada anak murid, jadi wujudlah Butik Qaseh SKSP.

"Berdasarkan data waris, ramai antara mereka adalah golongan B40. Harga pakaian yang murah ini, tidak membebankan mereka jika hendak membeli pakaian di butik ini," katanya.