Syarikat didenda RM2,000 gagal lapor kemalangan di tempat kerja

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

DUNGUN – Kontraktor syarikat pembinaan didenda sebanyak RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana gagal melaporkan kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan dikendalikan syarikat itu pada tahun lalu.

Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan tersebut selepas Syarikat See Song & Sons Sdn Bhd sebagai majikan mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati gagal melaporkan kejadian berbahaya dalam borang yang diluluskan kepada pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam tempoh tujuh hari selepas berlaku kejadian jentera ‘excavator’ dikendalikan oleh pekerja terbalik.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Peraturan 5(1)(bb), Pemberitahuan dan Pelaporan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Akta 514).

Berdasarkan fakta kes, pada 14 November lalu, pegawai penyiasat diketuai Nur Syuhada Husin bersama Shamsul Mohd Yunos telah menjalankan siasatan aduan di tapak pembinaan dikendalikan syarikat itu di Teluk Lipat berkaitan kejadian berbahaya yang berlaku di sana.

Hasil siasatan mendapati aduan adalah berasas di mana terdapat kemalangan melibatkan jentera ‘excavator’ terbalik ketika menjalankan kerja di tapak pembinaan tersebut pada 10 Jun tahun lalu namun tidak dilaporkan kepada JKKP.

Oleh itu, syarikat berkenaan telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah peraturan 13, Pemberitahuan dan Pelaporan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan 2004, AKKP 1994 (Akta 514).

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Terengganu, Muhammad Tasyrif Ahmad Anuar.