RM138,900 lesap diperdaya scammer

Mangsa yang diperdaya scammer (dua dari kiri) hadir pada sidang akhbar bersama ADUN Semambu, Lee Chean Chung di Ibu Pejabat PKR di sini pada Rabu.
Mangsa yang diperdaya scammer (dua dari kiri) hadir pada sidang akhbar bersama ADUN Semambu, Lee Chean Chung di Ibu Pejabat PKR di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wang simpanan sebanyak RM138,900 milik seorang lelaki lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan anggota polis.

Lelaki berusia 20-an yang enggan dikenali itu berkata, kehilangan sebanyak RM98,900 wang miliknya yang disimpan dalam akaun Tabung Haji dan RM40,000 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

"Panggilan diterima daripada individu mendakwa dari LHDN pada jam 11 pagi 19 Julai lalu yang menyatakan saya mempunyai tunggakan cukai.

"Saya menafikannya namun individu itu mendakwa maklumat peribadi telah disalah guna," katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Rabu.

Lelaki itu berkata, panggilan berkenaan kemudian disambung kepada individu lain yang kononnya anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.

Menurutnya, 'anggota polis' berkenaan mengarahkan dia ke lokasi sunyi kononnya mahu membuat laporan dan ingin merakamkan panggilan telefon yang memakan masa hampir tiga jam.

"Individu tersebut memaklumkan akan membuat semakan, sebelum mendakwa saya terlibat dengan aktiviti jenayah pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah," katanya.

Lelaki itu berkata, dia turut diarahkan supaya membeli telefon bimbit baharu dan memuat turun satu aplikasi.

"Saya diminta untuk isi semua maklumat bank akaun dalam aplikasi tersebut kononnya untuk diaudit Bank Negara Malaysia.

"Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati pada 25 Julai lalu selepas menyedari wang dalam akaun lesap," katanya.

Sementara itu, Chean Chung berkata, pihaknya memandang serius kelemahan yang wujud pada keselamatan sistem perbankan.

Ujarnya, institusi kewangan badan berkanun kerajaan memainkan peranan sosial yang penting dalam kehidupan berbanding bank swasta.

Tambahnya, institusi kewangan kerajaan atau berkaitan kerajaan memikul amanah yang lebih tinggi dalam menjaga dan mempertahankan harta serta simpanan rakyat.

"Lembaga Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan jemaah haji negara ini.

"Pencarum berharap simpanan itu diuruskan dengan cekap dan selamat supaya mereka dapat menyempurnakan urusan haji," katanya.