KKM digesa siasat kedai jual nikotin tidak berlesen

Amrahi Buang
Amrahi Buang
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan siasatan menyeluruh terhadap kedai-kedai yang didapati menjual produk mengandungi bahan nikotin, yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 khususnya kedai vape.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, di bawah akta berkenaan, bahan nikotin dikategorikan sebagai racun kumpulan C dan hanya boleh dikendalikan oleh seorang ahli farmasi berlesen atau doktor.

“Walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok telah ditunda untuk dikaji semula, ia tidak boleh digunakan sebagai satu alasan untuk tidak melakukan sebarangan siasatan atau serbuan terhadap kedai-kedai yang menjual produk yang mempunyai bahan nikotin ini.

“Adalah jelas penjualan ini bercanggah dengan Akta Racun 1952 dan sewajarnya diambil tindakan undang-undang mengikut akta racun tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan kali terakhir yang dilakukan terhadap kedai-kedai yang menjual produk vape adalah pada November 2019.

“Oleh itu, KKM harus melakukan siasatan terhadap kedai-kedai ini untuk melindungi dan menjaga kesihatan rakyat sementara menunggu RUU ini untuk diluluskan di Parlimen pada sesi akan datang.

“MPS mengambil maklum mengenai RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang ditunda ke sesi Parlimen akan datang seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“MPS dengan sepenuh hati menyokong RUU ini yang melaksanakan satu langkah untuk mewujudkan Generasi Penamat (GEG), yang akan mengharamkan penggunaan dan penjualan rokok serta barangan vape kepada mereka yang dilahirkan pada dan selepas tahun 2007,” katanya.

Pada Selasa, Dewan Rakyat bersetuju membawa usul RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen bagi penelitian lanjut.

Usul RUU berkenaan yang kini masih berada di peringkat bacaan kali kedua telah dibahaskan selama dua hari oleh 12 ahli Parlimen.