Pemerdagangan manusia: Laporan AS bersifat subjektif

Hamzah Zainudin. - Foto Bernama.
Hamzah Zainudin. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penilaian Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan Malaysia pada Tahap 3 disifatkan sebagai subjektif.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini kerana laporan berkenaan bukan hanya berdasarkan maklumat diperoleh daripada kerajaan Malaysia, sebaliknya turut membabitkan pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO).

“Sebagai contoh, dalam laporan JNAS tercatat bahawa Malaysia tidak mempunyai rumah perlindungan di utara Semenanjung Malaysia yang pada hakikatnya, sebuah rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang kendalian NGO di Pulau Pinang telah beroperasi sejak tahun 2017 lagi.

“Secara keseluruhannya, terdapat 10 buah rumah perlindungan bagi mangsa pemerdagangan orang di seluruh negara antaranya lapan rumah perlindungan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan dua buah rumah perlindungan di bawah seliaan NGO.

“Untuk rumah perlindungan seliaan kerajaan, peruntukan tahunan secara purata berjumlah RM5 juta telah disediakan oleh pihak kerajaan melalui KPWKM bagi tujuan pengurusan dan pengoperasian 8 rumah perlindungan tersebut manakala sejak tahun 2017, sebanyak RM4.04 juta peruntukan disediakan bagi tujuan pengurusan rumah perlindungan seliaan NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan penerangan berkenaan Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2022 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Tambahnya, dalam laporan itu juga terdapat kekhilafan mengenai penggunaan gari kepada mangsa pemerdagangan orang.

“Untuk makluman ahli Yang Berhormat sekalian, prosedur penggunaan gari hanya terpakai kepada warga negara asing yang menyalahi undang-undang imigresen iaitu ketika operasi penguatkuasaan dilaksanakan untuk tujuan keselamatan.

“Ada kalanya, proses penggunaan gari yang dikenakan kepada mangsa adalah merupakan suatu tindakan bagi menyelamatkan mereka daripada apa-apa tindakan di luar dugaan dan ianya berlaku buat sementara semasa operasi. Bagi mereka yang sudah pun dikenal pasti sebagai mangsa, mereka tidak akan digari,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan sebagai penguat kuasa dan pelaksana kepada dasar membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia bertekad untuk menambah baik penguatkuasaan, meningkatkan pendakwaan serta memperkasakan perlindungan kepada mangsa pemerdagangan orang.

Justeru katanya, bagi memastikan keberkesanan tindakan kerajaan, perkongsian maklumat daripada pihak NGO, CSO, rakyat dan juga media adalah diperlukan memandangkan sifat jenayah dan modus operandinya yang licik dan berubah-ubah.