Juruterbang maut akibat cedera di tengkuk, dada

Laporan Sinar Harian mengenai nahas pesawat ringan yang mengorbankan seorang juruterbang di Ipoh pada Isnin.
Laporan Sinar Harian mengenai nahas pesawat ringan yang mengorbankan seorang juruterbang di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Juruterbang yang maut dalam nahas pesawat ringan di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng pada Isnin meninggal dunia akibat kecederaan di tengkuk dan dada.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Selasa.

"Proses bedah siasat telahpun selesai dan didapati sebab kematian adalah berpunca daripada kecederaan tengkuk dan dada akibat kemalangan penerbangan itu," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada pemberita.

Insiden yang berlaku sekitar jam 8 malam itu mengorbankan seorang juruterbang, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, sementara seorang lagi, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, terselamat dengan mengalami kecederaan.

Muhammad Din Fikri yang mengalami kecederaan di kepala dan badan masih menerima rawatan di HRPB dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, setakat jam 2 petang, ahli keluarga dan rakan Allahyarham Fajim Juffa masih setia menunggu di pekarangan Jabatan Forensik HRPB bagi proses tuntutan jenazah.

Allahyarham akan terus dibawa ke Surau Al-Kauthar, Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor untuk disolatkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran.

Dilaporkan kemalangan terbabit melibatkan jenis pesawat Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA yang dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

Kejadian berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.