Ambil serius kebimbangan sultan

Sudah tiba masanya Malaysia berusaha secara serius untuk memajukan sektor pertanian khususnya tanaman berasaskan makanan. - Foto 123RF
Sudah tiba masanya Malaysia berusaha secara serius untuk memajukan sektor pertanian khususnya tanaman berasaskan makanan. - Foto 123RF
A
A
A

BANYAK negara kini berdepan dengan peningkatan inflasi dan kenaikan harga makanan kesan daripada perang yang dilancarkan oleh Rusia ke atas Ukraine, dua buah negara pengeluar utama gandum dunia.

Malaysia boleh mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, Jika rantaian makanan boleh terganggu dengan teruk di Eropah akibat peperangan di Ukraine, apa yang bakal terjadi jika negara pengeksport beras utama dunia seperti China, Thailand, Myanmar dan Vietnam dilanda konflik serupa, iklim melampau atau bencana sehingga terpaksa menghentikan eksport beras.

Kita tidak boleh lagi terus berada dalam zon selesa yakni untuk terus menerus menjadi negara pengimport makanan kerana segala kemungkinan boleh berlaku.

Jika kerajaan India boleh mengambil keputusan menghentikan eksport gandum akibat kemarau dan Indonesia membekukan eksport minyak sawit bagi mengekang kenaikan harga di pasaran tempatan, tentunya negara pengeluar beras kemungkinan akan mengambil langkah serupa jika berdepan suatu konflik atau bencana luar biasa bagi memastikan stok makanan dalam negara sentiasa mencukupi untuk penduduk mereka.

Untuk rekod, penggunaan gandum dan beras di Malaysia masing-masing adalah sekitar 1.6 juta dan 2.7 juta tan pada 2021.

Tiga puluh peratus daripada beras yang dimakan di Malaysia iaitu kira-kira sembilan juta tan setahun adalah diimport, manakala hampir semua gandum diimport dari Australia, Amerika Syarikat dan Kanada.

Secara keseluruhan, nilai import bahan makanan ke Malaysia telah mencecah melebihi RM56 bilion setahun.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak, pada Sabtu lalu turut melahirkan kebimbangan baginda mengenai krisis makanan dan menitahkan agar gerakan secara besar-besaran dilakukan untuk memenuhi keperluan makanan negara yang ketika ini di ambang bahaya.

Di bawah tema `Keselamatan Makanan: Penghijrahan Visi - Penghijrahan Misi', Sultan Nazrin mengingatkan sekiranya tiada langkah serius dilaksanakan dengan segera, negara akan menghadapi suasana darurat makanan.

Kebimbangan Sultan Nazrin wajar diambil perhatian secara serius oleh semua agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Kerjasama antara semua agensi di bawah kedua-dua kementerian itu perlu digembleng untuk membangun dan memajukan sektor pertanian berasaskan makanan.

Kerajaan boleh mengkaji semula peranan agensi pembangunan tanah seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Fungsi kesemua agensi itu perlu diperluaskan dan tidak terlalu tertumpu kepada memajukan sesuatu tanaman saja seperti getah atau kelapa sawit.

Kilang-kilang mengeluarkan baja dan makanan ternakan perlu diperbanyakkan bagi mengurangkan kos ditanggung oleh para penternak dan petani ekoran baja dan makanan ternakan import semakin mahal.

Selain daripada itu, kerajaan melalui Jabatan Pertanian boleh memperkenalkan projek ala `estet' untuk memajukan beribu hektar tanah pertanian yang terbiar kerana `halangan akta' yang tidak membenarkan tanah itu diusahakan dengan tanaman selain daripada padi.

Di bawah pengurusan ala `estet', kerajaan boleh menetapkan bahagian saham atau perkongsian keuntungan bergantung kepada keluasan tanah pemilik.

Di lautan, Jabatan Perikanan perlu memikirkan cara bagaimana cara meningkatkan hasil tangkapan para nelayan tempatan bagi menurunkan semula harga ikan dan hasil laut lain di pasaran.

Jika perairan negara semakin kepupusan ikan, persoalannya kenapa banyak nelayan asing menganggapnya sebagai `lubuk' dan terus menceroboh.

Di samping itu, kerajaan perlu menyediakan biasiswa khas untuk menghantar lebih ramai pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di universiti-universiti pertanian di luar negara termasuk di Thailand.

Seperti kebimbangan Sultan Nazrin, sudah tiba masanya Malaysia berusaha secara serius untuk memajukan sektor pertanian khususnya tanaman berasaskan makanan.

Jika harga minyak masak pun sukar dikawal walaupun Malaysia pengeluar utama minyak sawit, tentunya rakyat dan kerajaan sendiri akan berdepan dengan bencana besar jika negara pengeluar beras menghentikan eksport komoditi itu.

* Marzuki Yusoff ialah Penyunting Sinar Harian