Kentucky dilanda banjir paling dahsyat

Pandangan atas menunjukkan kediaman penduduk yang dikepung air bajir di Jackson, Kentucky. - AFP
Pandangan atas menunjukkan kediaman penduduk yang dikepung air bajir di Jackson, Kentucky. - AFP
A
A
A

JACKSON - Gabenor Kentucky menjangkakan lebih banyak mayat ditemui dalam tempoh beberapa minggu akibat banjir besar yang sehingga kini telah mengorbankan 28 orang pada Ahad manakala anggota penyelamat masih bertungkus lumus mengesan lokasi mangsa.

Beberapa kawasan di wilayah pergunungan masih tidak boleh dimasuki susulan banjir di timur negeri itu yang menukarkan jalan raya kepada sungai selain menghanyutkan jambatan dan rumah penduduk.

“Ia adalah bencana paling dahsyat yang pernah muncul dalam lipatan sejarah. Buat masa ini kami sedang mencari mangsa yang masih hilang walaupun berdepan hujan.

“Kami juga akan mencari dari rumah ke rumah serta seberapa ramai mangsa walaupun cuaca tidak mengizinkan,” kata Gabenor Andy Beshear memberitahu NBC.

Jumlah kematian akibat banjir yang disebabkan hujan lebat bermula sejak Rabu, dijangkakan meningkat.

“Kami akan mencari mayat selama berminggu-minggu dan ramai daripada mereka dihanyutkan jauh sehingga ratusan meter atau satu perempat dari tempat mereka hilang,” tambahnya.

Sebuah bas sekolah yang dihanyutkan banjir berhampiran Jackson, Kentucky. - AFP
Sebuah bas sekolah yang dihanyutkan banjir berhampiran Jackson, Kentucky. - AFP

Beshear melakukan lawatan ke kawasan banjir dan berhenti di tiga daerah pada Ahad, menyatakan lebih 350 penduduk tinggal di pusat penempatan sementara.

Sementara itu, bandar Jackson menjadi pusat pasukan bantuan dan penyelamat mengelolakan operasi susulan kawasan itu paling terjejas teruk.

Anggota ini turut mengedarkan botol air minuman kepada mangsa terjejas manakala sebuah bot bertulis ‘FEMA Rescue 4’ baru tiba di atas treler yang menunjukkan bantuan oleh kru kecemasan persekutuan telah tiba.

Kira-kira 35 kilometer ke arah selatan dalam komuniti kecil di Buckhorn turut menyaksikan anggota sukarela memberitahu AFP bahawa 700 hingga 800 orang datang ke sini pada Ahad untuk mengutip makanan, kertas tisu tandas dan peralatan mandian.

“Ia memusnahkan kawasan di mana orang ramai serba kekurangan,” kata Besher.

Sementara itu, beberapa kawasan di timur Kentucky melaporkan menerima lebih daripada 20 sentimeter hujan dalam tempoh 24 jam.

Paras air di Sungai Kentucky, North Fork dilaporkan meningkat kepada hampir tujuh meter untuk tempoh beberapa jam, lebih tinggi berbanding sebelum ini iaitu empat meter.

Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran mengenai risiko banjir di Amerika Syarikat (AS), termasuk Kentucky tengah dan timur yang berlaku pada Isnin.

“Ancaman banjir kilat akan berterusan sepanjang waktu dari tengah hari dan awal petang akibat hujan dan ribut petir serta hujan lebat,” katanya.

Presiden AS, Joe Biden mengeluarkan perintah darurat bencana di Kentucky dengan mengerahkan bantuan persekutuan untuk melipatgandakan usaha pemulihan. - AFP