Junta Myanmar lanjut darurat hingga 2023

Min Aung Hlaing - Foto Reuters
Min Aung Hlaing - Foto Reuters
A
A
A

BANGKOK - Junta Myanmar akan melanjutkan tempoh darurat di negara itu selama enam bulan lagi sehingga Februari tahun depan, lapor media kerajaan pada Isnin.

Kali pertama darurat diisytiharkan adalah pada Februari 2021, selepas Jeneral Kanan, Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi.

Akhbar Global New Light milik kerajaan memberitahu, Ming Aung Hlaing menyerahkan laporan kepada kerajaan Majlis Pentadbiran Negeri (SAC) untuk membenarkannya berkhidmat selama enam bulan lagi mengikut peruntukan darurat Perlembagaan bagi memboleh beliau menjalankan tugas dengan berkesan.

Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Myanmar ‘sebulat suara menyokong’ cadangan untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan darurat di bawah Seksyen 425 Perlembagaan.

Kerajaan Min Aung Hlaing berjanji untuk mengadakan pilihan raya baharu pada Ogos tahun depan tetapi ramai meragui bahawa ia akan berlangsung dengan bebas dan adil.

Tentera mendakwa rampasan kuasa tahun lalu dilakukan kerana berlaku penipuan pengundian pada pilihan raya umum November 2020 yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) Suu Kyi.

Suu Kyi telah ditahan dan menghadapi pelbagai pertuduhan sejak rampasan kuasa.

Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik, lebih 2,100 orang awam terbunuh sejak rampasan kuasa, terutamanya oleh pasukan keselamatan yang cuba menghentikan pemberontakan yang tercetus kerana membantah rampasan kuasa. - Bernama