Penglibatan Malaysia dalam IPEF bantu selesai isu WRO

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
A
A
A
KUALA LUMPUR - Penyertaan Malaysia dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) akan membolehkannya menangani masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat yang telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada ketika ini Malaysia tidak mempunyai struktur perjanjian yang formal dengan AS dan disebabkan itu terdapat banyak isu-isu masih belum diselesaikan.

"Terdapat beberapa syarikat tempatan yang dikenakan WRO dan ini menyebabkan barangan dan produk tidak dapat dieksport. Walaupun status IPEF adalah mekanisme perdagangan pelbagai hala, sekruang-kurangnya Malaysia mempunyai platform untuk meneruskan perbincangan dan penglibatan dengan AS," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA) ke-39 pada Isnin.

Dilancarkan pada 23 Mei, IPEF setakat ini terdiri daripada 14 negara, iaitu AS, Australia, Brunei, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Mohamed Azmin juga menekankan bahawa bantuan teknikal dan elemen pembinaan kapasiti IPEF akan membantu merapatkan jurang pembangunan antara negara anggota dan menyediakan akses kepada pasaran antarabangsa.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata IPEF menyediakan peluang lebih besar kepada sektor swasta di Malaysia dan Jepun untuk bekerjasama dan bersinergi dalam spektrum perkara berkaitan ekonomi yang lebih luas.

"Saya berharap kedua-dua MAJECA dan JAMECA bukan sahaja komited untuk membuat pelaburan baharu di Malaysia tetapi juga memastikan pemindahan teknologi, penciptaan ekosistem dan penglibatan industri tempata, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan,” tambahnya.

Mohamed Azmin berkata, walaupun menghadapi masalah global tahun lepas, Jepun merupakan rakan dagangan global keseluruhan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan berjumlah RM148.98 bilion.

Jepun juga merupakan pelabur asing utama Malaysia dalam sektor pembuatan dan sudah melaksanakan projek dengan jumlah pelaburan RM90.9 bilion setakat tahun lepas. - Bernama